Misi skuad badminton negara dalam saingan Piala Sudirman 2025 akan bermula 28 April yang akan berlangsung di Xiamen, China dalam usaha untuk memburu tempat ke separuh akhir.

Edisi kali ini menyaksikan Malaysia bakal berada dalam kumpulan C bersama-sama Jepun, Perancis dan Australia dimana menuntut ketelitian dalam merangka stretegi terbaik buat skuad negara.

Skuad yang diketuai oleh Leong Jun Hao dan Pearly Tan ini dilihat mempunyai keseimbangan antara pemain berpengalaman dan bakat meningkat naik dalam menggalas tanggungjawab.

Sejak edisi pertama Piala Sudirman pada tahun 1989, Malaysia merupakan antara negara yang konsisten menyertai kejohanan ini.

Sepanjang penyertaan lebih tiga dekad, pencapaian terbaik skuad negara adalah mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali iaitu pada kempen 2009 di Guangzhou, 2021 (Vantaa, Finland) dan terbaharu pada edisi 2023 yang diadakan di Suzhou, China.

Ini bermakna kem negara berjaya mara ke separuh akhir buat dua edisi berturut-turut dan pastinya mereka mahu mengulangi pencapaian tersebut.

Malaysia tewas kepada tiga lawan berbeza di peringkat separuh akhir tersebut selepas mereka kecundang ditangan China (2009), Jepun (2021) dan Korea Selatan pada 2023.

Kejayaan mara ke separuh akhir pada edisi-edisi tersebut sebenarnya membuktikan keupayaan Malaysia untuk bersaing dengan kuasa besar badminton dunia dalam format berpasukan campuran.

Walaupun belum pernah menjejakkan kaki di pentas final, perkembangan positif dalam struktur pembangunan dan kemunculan generasi pemain baharu memberikan harapan besar kepada penyokong badminton tanah air.

Dengan momentum dari prestasi edisi lalu dan barisan pemain yang semakin matang, edisi 2025 di Xiamen ini bakal menjadi medan penting untuk Malaysia mencipta satu lagi sejarah baharu dalam menamatkan penantian panjang ke pentas akhir buat kali pertama.

Berikut merupakan senarai penuh pemain Malaysia:

Piala Sudirman 2025

Perseorangan Lelaki

1) Leong Jun Hao

2) Justin Hoh

Perseorangan Wanita

3) Goh Jin Wei

4) K. Letshanaa

Beregu Lelaki

5) Aaron Chia

6) Soh Wooi Yik

7) Nur Izzuddin Rumsani

8) Goh Sze Fei

9) Man Wei Chong

10) Tee Kai Wun

Beregu Wanita

11) Pearly Tan

12) M. Thinaah

13) Go Pei Kee

14) Carmen Ting

Beregu Campuran

15) Goh Soon Huat

16) Shevon Lai

17) Chen Tang Jie

18) Toh Ee Wei

19) Hoo Pang Ron

20) Cheng Su Yin