Pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan aksi Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini terpaksa dibatalkan.

Dalam satu pengumuman yang dikeluarkan oleh badan itu, keputusan Selangor untuk tidak menghadiri perlawanan tersebut memaksa mereka untuk membatalkan aksi pembukaan Liga Malaysia musim 2024/25 itu.

Baca Juga:

“Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat, 10 Mei 2024 di Stadium Sultan Ibrahim terpaksa dibatalkan selepas Selangor membuat keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan itu.

“Keputusan Selangor itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada MFL sekaligus menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat 3 mata bagi perlawanan Liga Super (LS1).

“Perkara-perkara lain juga berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.

Selangor telah mengeluarkan kenyataan yang mana mereka memutuskan untuk tidak hadir kerana faktor keselamatan selepas kejadian simbah asid yang menimpa Muhammad Faisal Abdul Halim.

“Setelah penelitian dijalankan dan perbicangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk TIDAK HADIR ke Perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan.

“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh skuad Gergasi Merah.