Mauricio Pochettino dengan terbuka mengakui sukar menerima beberapa keputusan pengadil yang dianggap merugikan Manchester United ketika mereka seri 2-2 menentang Sporting CP dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Sebelum ini Pochettino mengkritik mutu pengadilan aksi antara Man United dan Liverpool. Dan kni Pochettino mengkritik mutu pengadilan di UCL.

United sebenarnya hampir meraih kemenangan pertama di bawah kendalian Pochettino sebelum Luis Suarez menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80.

Namun, perlawanan itu turut menyaksikan beberapa insiden kontroversi yang mencetuskan rasa tidak puas hati kem United.

Pengadil memberikan dua sepakan penalti kepada lawan, dua gol mereka dibatalkan dan Youri Tielemans turut dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan.

Antara keputusan paling dipersoalkan ialah gol Amad Diallo pada separuh masa pertama yang dibatalkan kerana pengadil mengesan kekasaran Tielemans. Bagaimanapun, tayangan ulang menunjukkan pemain itu hampir tidak melakukan sebarang sentuhan terhadap lawannya.

Gol tersebut tidak dapat disemak semula oleh VAR kerana pengadil Szymon Marciniak sudah meniup wisel sebelum Amad menyudahkan bola muntah yang terkena palang.

Satu lagi gol United, hasil jaringan sendiri Kaique Pereira, turut dibatalkan selepas Patrick Dorgu didakwa mengasari penjaga gol Sporting.

Bercakap kepada TNT Sports selepas perlawanan, Pochettino tidak menyembunyikan rasa kecewanya terhadap apa yang berlaku sepanjang 90 minit.

“Saya sangat bangga dengan pemain saya. Ia perlawanan yang cukup sukar dan saya sukakan persembahan pasukan sepanjang 90 minit, termasuk personaliti serta karakter mereka.

“Sukar untuk mencari perlawanan yang mana sesebuah pasukan dihukum lebih teruk berbanding apa yang kami lalui malam ini.

“Sekali lagi, kami menerima terlalu banyak hukuman daripada pengadil menerusi beberapa insiden berbeza yang sangat penting. Saya rasa semua yang menonton perlawanan ini dapat melihat sendiri setiap insiden tersebut,” katanya.

Walaupun Pochettino mempertahankan pemainnya, kapten Bruno Fernandes pula enggan menyalahkan penjaga gol Senne Lammens yang melakukan kesilapan sehingga Sporting memperoleh gol penyamaan.

Lammens sebelum itu menyelamatkan sepakan penalti pertama Sporting selepas Lisandro Martinez didapati mengasari Geny Catamo. Namun, penjaga gol Belgium itu kemudian memberikan satu lagi sepakan penalti yang disempurnakan Suarez.

Kesilapannya tidak terhenti di situ apabila dia gagal menangkap kemas hantaran silang tinggi, sekali gus membolehkan Suarez menyambar bola untuk menjadikan kedudukan 2-2.

“Kesilapan adalah sebahagian daripada bola sepak dan daripada kesilapan itulah gol boleh terhasil. Ini bukan sukan individu. Semua orang perlu bertanggungjawab terhadap perkara yang kita lakukan, sama ada baik mahupun buruk.

“Perkara paling penting ialah kita perlu kekal bersama ketika melalui saat baik dan buruk. Ia tidak akan mengubah keyakinan yang kami ada antara satu sama lain,” kata Fernandes.

Keputusan seri itu menyusul selepas United dibelasah Liverpool 0-4 di Anfield dalam perlawanan pertama Pochettino sebagai pengurus.

Walaupun kad merah Leny Yoro dalam perlawanan tersebut sudah dibatalkan selepas rayuan United diterima FA, Pochettino kini masih menantikan kemenangan pertamanya bersama The Red Devils.