Mauricio Pochettino tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Leny Yoro, sekali gus mendakwa insiden tersebut menjadi titik perubahan kekalahan Manchester United.
Menurut Pochettino, perlawanan berubah sepenuhnya selepas United terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit keenam susulan insiden membabitkan Yoro dan Alexander Isak.
Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai tidak adil kerana percaya Yoro langsung tidak berniat untuk melakukan kekasaran terhadap Isak.
Pochettino berkata: “Perlawanan berubah sepenuhnya selepas enam minit. Kerosakan sudah berlaku. Ia sangat menyakitkan.’
“Ia situasi yang langsung tidak adil. Bola sebenarnya sedang menuju ke arah penjaga gol. Jika kamu meneliti semula menerusi VAR, Yoro tidak pernah berniat untuk melakukan sentuhan terhadap Isak.
“Selepas kawalan bola yang kurang baik, bola sedang menuju ke arah penjaga gol. Kemudian Isak sedikit melambatkan lariannya sebelum terjatuh.
“Ia bukan sesuatu yang disengajakan oleh Yoro. Bagi sesiapa yang pernah bermain bola sepak, jelas sekali situasi itu bukan kesalahan yang sepatutnya menerima kad merah,” katanya.
Pochettino turut mempersoalkan ketidakseragaman keputusan pengadil dengan membandingkan insiden tersebut dengan cabaran Jeremy Jacquet terhadap Bryan Mbeumo.
Beliau percaya United sepatutnya diberikan sepakan penalti dalam insiden melibatkan Mbeumo.
“Apabila kamu membandingkan kedua-dua insiden antara Jacquet dan Yoro, itu sepatutnya penalti, bukan?
“Bayangkan betapa berbezanya keadaan jika kamu menjaringkan gol selepas enam minit. Sudah tentu kita akan bercakap tentang perkara yang berbeza sekarang,” tambahnya.
🗣️ Mauricio Pochettino on Leny Yoro's red card. "The game changed completely after six minutes. The damage is done. It's so painful. It was a completely unfair situation that happened…
"The ball was going to the keeper. If you review on the VAR, Yoro never had the intention to… pic.twitter.com/95VbpygBx0
— Ben Jacobs (@JacobsBen) November 22, 2026
Pochettino jelas merasakan keputusan pengadil memberikan impak besar terhadap perjalanan perlawanan, khususnya apabila United terpaksa mengubah pendekatan permainan selepas kehilangan seorang pemain.
Baginya, keputusan-keputusan tersebut menjadi antara faktor utama yang menyebabkan United gagal mendapatkan keputusan yang diharapkan.