Michael Owen percaya Mauricio Pochettino memiliki ciri-ciri yang diperlukan untuk membantu mengembalikan karier Marcus Rashford yang semakin merosot di Old Trafford.
Bekas penyerang Manchester United itu berpendapat pelantikan pengendali dari Argentina tersebut mampu menjadi pemangkin untuk mengubah nasib pemain antarabangsa England itu selepas melalui tempoh sukar.
Selepas menghabiskan tempoh pinjaman bersama Barcelona pada musim lalu, pemain berusia 29 tahun itu kembali ke Manchester United tetapi gagal mempamerkan aksi meyakinkan di bawah kendalian Michael Carrick.
Lebih memburukkan keadaan, Rashford masih belum menjaringkan sebarang gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selain terlepas lima perlawanan terakhir di bawah kendalian jurulatih terdahulu akibat kecederaan pinggul yang berlarutan.

Owen Percaya Pochettino Mampu Bantu Rashford
“Ramai pihak sudah mencubanya,” jelas Owen menurut sumber laporan Goal.
“Sukar untuk saya memberikan jawapan. Inilah persoalan yang bernilai jutaan dolar. Setiap orang mempunyai pandangan berbeza, tetapi Pochettino mempunyai reputasi dalam membangunkan pemain muda serta mengembalikan prestasi pemain yang sedang bergelut.”
“Dia seorang pengurus yang hebat. Dia sudah melalui pelbagai pengalaman dan membuktikan kemampuannya di beberapa peringkat berbeza. Jadi, dia mempunyai peluang sama baik seperti mana-mana pengurus lain untuk mengembalikan prestasi pemain tertentu.
“Bukanlah Rashford bermain dengan teruk sepanjang berada di Manchester United. Dia telah melakukan tugas dengan baik, tetapi saya yakin masih banyak potensi yang boleh ditonjolkannya dan Pochettino mungkin individu yang sesuai untuk membantunya,” katanya.