Bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino secara mengejut mendakwa Spurs sepatutnya diiktiraf sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim 2016/17.
Pengendali dari Argentina itu berhujah bahawa pengakuan Chelsea mengenai pelanggaran peraturan kewangan bermakna trofi tersebut sepatutnya menjadi milik kelab dari utara London itu.
Meskipun The Blues didenda £10 juta oleh FA pada awal musim panas ini, Pochettino berpendapat ketiadaan hukuman berbentuk sukan merupakan satu pengkhianatan terhadap prinsip permainan yang adil.
Persatuan Bola Sepak England (FA) baru-baru ini mengenakan denda £10 juta serta larangan perpindahan yang ditangguhkan terhadap Chelsea.
Hukuman tersebut susulan pengakuan kelab berkenaan melakukan 74 pelanggaran peraturan kewangan ketika era pemilikan Roman Abramovich.
Pelanggaran itu berlaku antara 2011 hingga 2018 dan tertumpu kepada pembayaran tidak sah kepada ejen yang tidak berdaftar bagi beberapa perpindahan penting. Pemilik Chelsea ketika ini melaporkan sendiri ketidakaturan tersebut selepas mengambil alih kelab pada 2022.
Antara pemain yang perpindahannya dikaitkan dengan pelanggaran tersebut ialah Eden Hazard, David Luiz dan Nemanja Matic. Ketiga-tiga pemain itu memainkan peranan penting ketika Antonio Conte membimbing The Blues menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim 2016/17.
Tottenham menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan ketinggalan tujuh mata pada musim tersebut walaupun memiliki jentera serangan terbaik, pertahanan paling kukuh dan mencatat jumlah kekalahan paling sedikit dalam liga, mereka tetap menamatkan musim tanpa sebarang trofi.
Pochettino Mahu Trofi Diberikan Kepada Spurs
“Saya sudah katakan bahawa kami sepatutnya memenangi satu trofi, iaitu Liga Perdana Inggeris,” ujar Pochettino menurut sumber laporan Goal.
“Kami sepatutnya dianugerahkan trofi tersebut. Jika perkara itu benar-benar berlaku, sudah tentu kami layak dinobatkan sebagai juara pada tahun tersebut. Kerana kami merupakan pasukan kedua terbaik.”
“Mereka sudah dihukum, mereka sudah mengakuinya, jadi itu sahaja?” katanya.
“Trofi tersebut sepatutnya diberikan kepada pasukan yang menduduki tempat kedua. Kami tidak bersaing mengikut peraturan yang sama.”
“Sekarang kita boleh katakan mereka menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Tetapi adalah sesuatu yang adil untuk mengatakan bahawa kami tidak memulakan musim dengan peluang yang sama.”
Pochettino turut berpendapat situasi kewangan yang lebih seimbang mungkin telah mengubah sejarah persaingan ketika itu.
“Mungkin dengan peraturan yang sama, jika kami menggunakan perkara yang sama, mungkin kami boleh mendapatkan beberapa pemain yang mampu menjadikan pasukan lebih baik atau menjaringkan lebih banyak gol.”
“Saya bukan mengeluh. Itulah hakikatnya,” ujar beliau lagi/