Pihak polis sedang mengesan sekumpulan penyokong yang terbabit insiden kekecohan dan menyebabkan pintu besi laluan masuk Stadium MBPJ mengalami kerosakan ketika perlawanan Liga Super antara Selangor menentang Negeri Sembilan minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya telah mengesan dua video tular di media sosial pada 10.15 pagi Isnin berhubung kejadian tersebut yang menyebabkan kerosakkan pintu pagar besi ke tempat duduk penyokong di Stadium MBPJ.

Baca Juga:

“Sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh disalurkan melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya ditalian 03-79662222,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, telah dibuka dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan individu terbabit.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca dari penyokong yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan tidak dapat menahan sabar gara-gara pintu pagar stadium belum dibuka sebaik perlawanan tamat.

Dalam perlawanan tersebut, Selangor berjaya mencata kemenangan 4-0 hasil jaringan daripada Yohanzdry Orozco, Ronie Fernandez dan Reziq Banihani.

Ini merupakan kemenangan kedua Selangor dalam saingan Liga Super manakala Negeri Sembilan terus berputih mata apabila mengalami kekalahan kali kedua.