Tiga lelaki bertopeng yang merompak barang kemas bernilai RM1.7 juta dari sebuah kedai di pusat beli-belah di Genting Highlands semalam melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor, kata polis.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, dalam satu kenyataan hari ini berkata polis mendapati perkara itu hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah Sky Avenue, petik Free Malaysia Today.

Beliau berkata dalam kejadian pada jam 11.39 pagi di premis Chow Tai Fook itu, ketiga-tiga suspek yang memakai pelitup muka, topi dan jaket, bersenjatakan kapak serta kuku kambing yang digunakan untuk memecahkan dan memaksa buka cermin pameran.

Rompakan tersebut mengambil masa sekitar dua minit, dengan suspek melarikan diri pada jam 11.41 pagi, katanya.

“Semasa kejadian berlaku, dua pekerja – seorang lelaki dan seorang wanita – berada di dalam kedai manakala pekerja ketiga sedang berehat,” katanya.

“Tiada pelanggan atau pengawal keselamatan berada di lokasi, dan tiada kecederaan dilaporkan.”

Azry berkata suspek melarikan diri bersama lima bekas yang mengandungi 81 barang kemas seberat 2.5kg secara keseluruhan dengan nilai anggaran RM1,747,500.

Polis kemudiannya mengaktifkan Op Tutup di Sekatan Jalan Raya 2 Genting Highlands dan di sepanjang laluan menuju ke Batang Kali bermula jam 12 tengah hari hingga 4.15 petang.

Namun rakaman CCTV mengesahkan suspek telah meninggalkan kawasan berkenaan sebelum sekatan jalan raya didirikan.