Pihak Polis Kontinjen Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 1,850 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta menyita 222 buah motosikal sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0 baru-baru ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin menyatakan bahawa tindakan penyitaan berkenaan dilakukan berlandaskan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, petik Harian Metro.
Menurut beliau, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu turut menahan enam individu yang terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, dan seorang lelaki warga Singapura berusia 22 tahun.
“Kesemua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 di Mahkamah Majistret dalam daerah tangkapan masing-masing.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.