Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengumumkan kadar harga baharu membabitkan perkhidmatannya, bermula 1 Januari lalu, susulan kenaikan kos bekalan dan peralatan perubatan lapor Berita Harian.

Berdasarkan makluman di laman sesawang rasmi mereka, caj itu termasuk kenaikan bayaran perubatan dan pembedahan sebagai kadar baharu bagi fasa dua yang berkuat kuasa, Rabu lalu.

Baca Juga:

“PPUM akan memperkenalkan kadar caj baharu (Fasa 2) mulai 1 Januari 2025 selaras dengan usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada para pesakit. Kadar caj baharu ini merangkumi caj prosedur, perawatan dan perkhidmatan. Harap maklum,” tulis kenyataan PPUM.

Bayaran dikenakan bagi perkhidmatan antaranya wad maya (virtual) ialah RM80; wad biasa (dewasa) RM300; wad biasa (pediatrik) RM270; wad kritikal (dewasa) RM500 dan wad kritikal (pediaktrik) RM650.

“Semakan caj dilaksanakan kerana berlakunya perubahan kepada kos terutamanya kepada bekalan guna hapus dan peralatan untuk caj sedia ada,” katanya.

Berdasarkan soalan lazim (FAQ) yang dipaparkan di laman sesawang PPUM, semua pihak yang berurusan dengan hospital berkenaan, akan dikenakan caj baharu melalui fasa satu, sejak 1 September lalu.

“Semua pihak yang berurusan dengan PPUM, akan dikenakan caj yang baharu mulai 1 September 2024. Caj baharu PPUM adalah lebih rendah dari caj hospital swasta,” katanya.

Katanya, bagi pesakit di bawah kategori B40 yang tidak berkemampuan, mereka boleh menggunakan kemudahan MySalam selain boleh dirujuk kepada Unit Taksiran, Jabatan kewangan PPUM dan Jabatan Kerja Sosial untuk dibantu sekiranya berkelayakan.

“Kemudahan sedia ada kekal dan pesakit akan diberikan pengecualian bayaran mengikut kelayakan masing-masing.

“Kali terakhir kadar caj dikaji semula adalah pada 2019 namun begitu, ia tidak menyeluruh. Semakan caj membabitkan keseluruhan perkhidmatan di PPUM,” katanya.

Aktiviti semakan semula caj ini akan dilaksanakan sekurang-kurangnya lima tahun sekali kecuali sekiranya terdapat perubahan kos signifikan kepada perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit.

“Terdapat kemungkinan caj rawatan akan diturunkan sekiranya terdapat kos berkaitan didapati menurun pada masa akan datang,” katanya.