Ibu bapa mana yang tidak gembira jika anak kesayangan yang sebelum ini lemah kini semakin beransur sihat dan pulih.
Itulah apa yang dialami oleh pasangan Teh Ghee Lim, 40, dan Zen Meilani, 33, yang dapat melihat perkembangan positif anak kesayangan, Teh Ping Ann, 3, yang mempunyai penyakit berkaitan genetik dan menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang.
Baca Juga:
- Faisal Halim Bakal Jalani Pembedahan Kali Ketiga
- e-KYC KWSP: Cara Keluarkan Lebih RM250 Daripada Akaun 3
- Polis Johor Nafi Dakwaan Kereta Rakyat Singapura Jadi Sasaran Pencuri
Pembedahan pemindahan sum-sum tulang yang dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 28 April 2023 yang diketuai Prof Dr Hany Ariffin, memberi sinar harapan buat kanak-kanak itu tetapi Ping Ann masih perlu menjalani pemeriksaan berkala.
Perjalanan untuk Ping Ann pulih bukanlah satu yang mudah. Teh berkata sebelum pembedahan di PPUM, Ping Ann telah menjalani satu pembedahan di Singapuran namun alami pendarahan otak menyebabkan komplikasi yang kini menjejaskan penglihatan mata kiri dan pergerakan badan di bahagian kanan yang kurang berdaya.
“Doktor ada beritahu keadaan otak anak kritikal dan kesan pendarahan berisiko menyebabkan Ping Ann menjadi kurang upaya dan terlantar sepanjang hidupnya tetapi kami tetap memilih mahu anak diselamatkan (menjalani pembedahan).
“Selepas menjalani rawatan untuk pendarahan otak, Ping Ann menjalani pembedahan sum-sum tulang di PPUM pula dan saya bersyukur ia berjaya dan kini dia semakin sihat,” katanya kepada Harian Metro.
Pembedahan sum-sum tulang tersebut merupakan satu prosedur yang rumit namun berjaya dijalanakan oleh para doktor dan pakar di PPUM. Sumsum tulang bapa, anak sepadan dan Teh menjadi penderma sum-sum tulang kepada anaknya.
Kos untuk biayai rawatan Ping Ann juga tidak sedikit di mana keluarga Ping Ann memerlukan RM800,000 sebagai kos rawatan. Di sinilah Pertubuhan Kebajikan One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity), membantu dalam membiayai perubatan kanak-kanak itu.
Sementara itu, Meilani berkata, perjalanan selama tiga tahun berjuang bersama Ping Ann bukan sesuatu mudah dan banyak pengorbanan, cabaran dan air mata sepanjang tempoh itu, namun dia dan suami tidak pernah berputus asa.
“Pengorbanan tiga tahun ini berbaloi dan tiada apa yang lebih bernilai jika dibandingkan dengan anak yang semakin aktif serta sihat, malah hati ‘berbunga’ dan bangga apabila Ping Ann buat kali pertama memanggil ‘mommy’ selepas dia sihat,” kata Meilani.
Teh juga sangat berterima kasih kepada semua pihak yang menyumbang kepada One Hope Charity serta pihak perubatan di Singapura dan PPUM yang tidak berputus asa dalam menyelamatkan nyawa anaknya. Semoga Ping Ann lekas sembuh!