Presiden Argentina, Javier Milei mengesahkan bahawa cuti umum akan diberikan sebagai penghargaan kepada skuad kebangsaan atas kempen cemerlang mereka di Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Utara itu.

Walaupun tewas kepada Sepanyol dalam aksi final menerusi masa tambahan, Milei mengumumkan bahawa para pemain serta barisan kejurulatihan diberi kebebasan untuk memilih tarikh yang sesuai bagi sambutan tersebut.

Pengumuman Khas Presiden Argentina

Menerusi ciapan di laman X peribadi miliknya, Milei mengambil langkah yang tidak dijangka apabila membenarkan skuad kebangsaan memilih sendiri tarikh cuti umum bagi menghargai kempen mereka di Piala Dunia 2026.

Keputusan diambil pemimpin tertinggi negara itu dianggap luar biasa memandangkan skuad La Albiceleste gagal mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi sebelum ini selepas mempamerkan aksi tumpul di final, termasuk gagal melakukan walau satu percubaan tepat ke arah gawang sepanjang perlawanan di Stadium MetLife, New York.

Walaupun Gagal Julang Piala Dunia 2026, Presiden Argentina Benarkan Pemain Pilih Tarikh Cuti Umum
Kredit Foto: PATRICIA DE MELO MOREIRA / AFP

Pengumuman rasmi itu pantas mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat Argentina, terutama kerana skuad kendalian Lionel Scaloni sekadar muncul naib juara kejohanan tersebut.

Malah, Presiden Javier Milei sendiri memilih untuk tidak menghadiri aksi final itu secara langsung kerana menganggap dirinya seorang yang kuat berpegang kepada pantang larang.

“Susulan persoalan mengenai sambutan bagi menghargai pencapaian yang diraih oleh skuad kebangsaan Argentina, saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat bahawa tarikh sambutan itu akan ditentukan oleh para pemain dan barisan kejurulatihan. Berdasarkan keputusan mereka, hari tersebut akan diisytiharkan sebagai cuti umum.”

“Terima kasih banyak kepada para pemain…!!! Hingga ke titisan keringat terakhir. Argentina sentiasa berada di puncak.”