Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol telah mengeluarkan arahan darurat ketenteraan selepas beliau menganggap pihak pembangkang mahu menggugat demokrasi negara itu.
Suk Yeol mengeluarkan arahan tersebut pada Selasa malam yang mana arahan ini merupakan yang pertama dalam tempoh 50 tahun dan lantas mencetuskan kekecohan di seluruh negara.
Baca Juga:
- Indonesia Isytihar Darurat? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
- Kerajaan Sedia Isytihar ‘Darurat Bencana’ Bila Gelombang Haba Semakin Membimbangkan
- Krisis Ekonomi Di Sri Lanka: Diesel Habis, Elektrik Kena Catu Dan Darurat Dikuatkuasakan
Presiden yang dilantik pada 2022 itu turut menegaskan keputusan yang diambil bukan sahaja kerana ada ancaman dari pihak pembangkang malah beliau percaya ada ancaman yang hadir dari negara jiran dan juga musuh iaitu Korea Utara.
Selepas didesak oleh ramai pihak, Suk Yeol terpaksa akur dan kemudiannya beliau mengangkat semula arahan yang dikeluarkan lima jam selepas membuat keputusan itu.
Ramai pihak percaya tindakan itu bukanlah kerana ancaman malah sebagai langkah yang diambil oleh seorang presiden yang terdesak bagi mengekalkan jawatan yang dimiliki.
Darurat ini turut dikenali sebagai martial law atau undang-undang tentera yang mana ini adalah pemerintahan sementara oleh pihak tentera dalam masa kecemasan, apabila pihak berkuasa awam dianggap tidak dapat berfungsi.
Kali terakhir darurat seperti ini berlaku di Korea Selatan adalah pada tahun 1979, apabila diktator tentera iaitu Park Chung-hee telah dibunuh semasa rampasan kuasa. Arahan tersebut tidak pernah digunakan sejak Korea menjadi demokrasi berparlimen pada tahun 1987.
Di bawah undang-undang tentera, kuasa tambahan diberikan kepada tentera dan selalunya terdapat penggantungan hak sivil untuk warganegara dan piawaian dan perlindungan undang-undang.