Nama Arif Aiman terus menjadi bualan peminat bola sepak Asia apabila cemerlang meledak gol pada aksi kedua AFC Champions League Elite (ACLE) menentang jaguh China, Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Ini adalah gol ketiganya dalam saingan tertinggi kelab asia itu selepas turut menjaringkan dua gol ketika menentang Shanghai Port di tempat lawan minggu lalu.

HYPE
Uban Hilang, Keyakinan Kembali! Alpecin Grey Attack Muncul Sebagai Hero Rambut Anda
Baca lagi →

Baca Juga:

Prestasi tersebut meletakkan nama Arif Aiman dalam senarai penjaring terbanyak ACLE musim 2024-2025 bersama tonggak Gwangju, Jasir Asani, Valeri Qazaishvili (Shandong Taishan) serta Akram Afif (Al Sadd).

Kehebatan Arif Aiman turut menarik perhatian beberapa media antarabangsa termasuk ESPN Asia yang menyifatkan pemain muda Malaysia itu memiliki potensi beraksi eropah.

“Satu lagi aksi luar biasa Arif Aiman, satu lagi kemenangan menakjubkan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit,” lapor ESPN Asia.

Pemain berusia 22 tahun itu turut mengakui pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail sentiasa memberikan semangat kepadanya untuk menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Sebelum ini saya cedera dan ia menjejaskan prestasi. Bos (Tunku Ismail) selalu bagi semangat untuk lakukan yang terbaik dan atas sebab itulah saya tekad untuk kekal di kelab ini.

“Saya dedikasikan kemenangan ini untuk penyokong dan hargai sokongan mereka yang hadir dan gembira kerana kami berjaya berikan kejayaan kepada mereka,” katanya dipetik dalam Buletin TV3.

Arif juga tidak mahu berasa selesa dan akan terus berusaha meningkatkan prestasi serta memperbaiki segala kelemahan.

“Saya sentiasa pesan kepada diri saya untuk berikan yang terbaik buat JDT dan dengar cakap jurulatih serta rakan-rakan sepasukan kerana mereka banyak membantu bagi memberi lebih keyakinan apabila saya beraksi di padang.

“Dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan sudah tentu memberi motivasi buat diri saya dan tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang dicapai, sebaliknya banyak lagi perkara harus dilakukan kerana dalam bola sepak masih ada ruang untuk perbaiki setiap kelemahan,” kata Arif.