Siapa kata projek akhir universiti sekadar untuk cukupkan syarat graduan saja? Baru-baru ini, komuniti internet tempatan digemparkan dengan satu hasil kerja animasi yang kualitinya bukan kaleng-kaleng.
Datang daripada sekumpulan pelajar UiTM dalam fakulti Filem, Teater dan Animasi , karya ini bukan saja tular tapi dah buat ramai peminat animasi ‘meremang’ melihat standard yang dibawakan.

Video berjudul Mambang Slayer dengan durasi 6 minit 18 saat itu menceritakan tentang tiga pahlawan muda Muslim menggalas misi berbahaya ke sebuah rumah tinggal di ceruk hutan tebal demi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang diculik oleh makhluk mistik, Mambang.
Dalam usaha membawa pulang mangsa dengan selamat, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan mencabar dan helah licik makhluk tersebut sehingga memaksa mereka mempertaruhkan nyawa demi melunaskan misi suci itu.

Susunan cerita yang menarik ditambah dengan babak aksi yang mendebarkan, penggunaan warna yang profesional menjadikan ia sebuah satu karya yang bagus.
Menariknya, mereka menggunakan dialek Kelantan untuk dialog karakter serta bunyi ambien peralatan tradisional menjadikan karya lebih dekat dengan budaya tempatan.
Dengan art style yang padu dan pergerakan yang smooth, tak hairanlah kalau nama pelajar ini disebut-sebut sebagai ‘satu benda besar akan datang’ dalam industri AniMY.
“Aku nampak potensi besar gila dalam animasi ni. Sumpah bangga gila bila tahu karya level macam ni datang dari negara kita sendiri,” kata seorang pengguna YouTube.
“Memang mantap we…boleh pergi jauh sumpah meremang bulu roma aku pagi-pagi ni…teruskan lagi,” ujar seorang lagi.
Ada yang berseloroh mengatakan hasil kerja bakat tempatan ini terbukti lebih bagus berbanding One Punch Man S3(animasi terkenal Jepun yang mendapat kritikan teruk kerana kualiti yang terlalu teruk)yang mana mempunyai jumlah frame yang tinggi menjadikan pergerakan karakter Mambang Slayer tampak lebih natural dan kemas.
Anda boleh lihat rujukan tentang animasi OPM S3 di sini.
Apa-apa pun, netizen bersepakat jika bakat tempatan ini diasah dan diberikan sokongan padu pasti boleh menjadi satu batu loncatan untuk membawa animasi Malaysia ke peringkat antarabangsa tanpa mengikut arus AI yang tiada ‘jiwa’.