Bagi rakyat Malaysia khususnya yang menetap di Sabah dan Sarawak, isu capaian internet perlahan atau terganggu bukanlah perkara asing. Bayangkan tengah seronok menonton penstriman video, bermain game atau dalam sidang panggilan video kerja, tiba-tiba sambungan terputus akibat gangguan teknikal pada rangkaian utama.

Namun, masalah ini bakal menemui jalan penyelesaian jangka panjang menerusi satu projek mega infrastruktur digital negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) secara rasmi menetapkan TM Technology Services Sdn Bhd (TM) sebagai pemberi perkhidmatan sejagat untuk mereka membentuk, melaksana dan mengendalikan sistem Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

Projek berimpak tinggi dengan perbelanjaan modal bernilai RM2.7 bilion ini akan dibiayai melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Kenapa kita perlukan kabel dasar laut baharu?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa perlu melabur sehingga berbilion ringgit untuk kabel di dasar laut?

Jawapannya mudah, kapasiti internet kita semakin sesak.
Rangkaian kabel dasar laut sedia ada yang menghubungkan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak telah beroperasi sejak tahun 2017. Kini, penggunaan kapasitinya sudah pun mencecah tahap kritikal sekitar 85 peratus.

Dengan gaya hidup digital hari ini yang bergantung penuh pada data bermula daripada penggunaan media sosial, e-dagang, sehinggalah teknologi kecerdasan buatan (AI), kapasiti ini perlu dinaik taraf segera sebelum berlaku ‘kesesakan lalu lintas’ data yang lebih teruk pada masa hadapan.

Selain menambah kapasiti dan kelajuan, sistem SALAM juga bertindak sebagai laluan alternatif backup. Sekiranya kabel dasar laut sedia ada mengalami kerosakan atau terputus di dasar laut, trafik data boleh terus dialihkan ke laluan SALAM tanpa menjejaskan urusan harian pengguna dan perniagaan.

10 stesen pendaratan baharu bakal dibina

Projek SALAM bukanlah projek berskala kecil. Ia melibatkan jajaran kabel sepanjang kira-kira 5,500 kilometer di dasar laut yang akan dibangunkan oleh TM menggunakan teknologi daripada gergasi industri global, Alcatel Submarine Networks (ASN).

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara TM dan ASN ini turut disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad.

Bagi memastikan liputan yang menyeluruh, sebanyak 10 stesen pendaratan landing station baharu akan dibina di lokasi-lokasi strategik berikut:

  • – Semenanjung Malaysia: Cherating dan Sedili
  • – Sarawak: Kuching, Sibu (Matu) dan Bintulu (Samalaju)
  • – Sabah: Kota Kinabalu, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau

Apa kesannya kepada pengguna?

Projek ini dijadualkan bermula pada pertengahan Disember 2026 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama tahun 2030. Apabila beroperasi kelak, ia bakal membawa perubahan besar kepada landskap digital negara:

    1. Rangkaian 5G & Jalur Lebar Lebih Mantap: Kapasiti tambahan ini menjadi tulang belakang untuk meluaskan capaian 5G dan jalur lebar, terutamanya bagi komuniti di Sabah dan Sarawak.
    2. Merancakkan Ekonomi Digital & AI: Perniagaan tempatan, pusat data serta perkhidmatan awan dapat beroperasi dengan lebih lancar, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan digital ke Malaysia Timur.
    3. Keselamatan Siber Negara Terjamin: Sebanyak empat pasang gentian optik dikhususkan untuk kegunaan strategik negara merangkumi perkhidmatan digital Kerajaan, infrastruktur awan berdaulat sovereign cloud dan keselamatan siber.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen MCMC dalam merapatkan jurang digital antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak agar lebih banyak komuniti dapat menikmati manfaat ekonomi digital dengan lebih stabil.