Seorang pempengaruh wanita berusia 20 tahun terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Majistret Marang hari ini memerintahkannya menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun kerana mempromosikan perjudian dalam talian.
Menurut laporan Buletin TV3, Majistret Nur Athirah Hashim membuat keputusan itu terhadap Nur Syakilla Natasya Sukri selepas mengambil kira laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta rayuan pihak pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan RM2,000 sepanjang tempoh bon berkenaan.
Tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Ramlan Taib dikategorikan sebagai pesalah muda kerana berusia bawah 21 tahun. Laporan sosial JKM disediakan bagi membantu mahkamah menilai latar belakang dan keadaan dirinya sebelum hukuman dijatuhkan.
Menurut laporan itu, Nur Syakilla mengalami kecederaan pada bahagian paha sehingga tidak mampu melakukan kerja berat. Dia juga dilaporkan kurang bergaul, tidak mempunyai ramai rakan dan jarang keluar rumah.
JKM turut memaklumkan bahawa keluarganya mampu mengawal serta memantau tingkah laku tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Nur Syakilla didakwa mempromosikan perjudian dalam talian yang mempunyai elemen pertaruhan pada jam 12.45 tengah hari, 23 Januari lalu di kawasan Pasar Marang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah mengambil kira ia merupakan kesalahan pertama tertuduh sebelum memberikan peluang kedua menerusi bon berkelakuan baik tersebut.
Keputusan itu juga menjadi peringatan kepada pempengaruh media sosial lain supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran lumayan untuk mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian.