Selepas hampir empat minggu perlihatkan model sedan segmen C baharu dari barisan pengeluarannya di Tanjung Malim, akhirnya Proton S70 dilancarkan secara rasmi sebentar tadi.

Ditawarkan dalam empat varian berbeza iaitu 1.5T Executive yang dijual pada harga bermula RM73,800, 1.5T Premium (bermula RM79,800), 1.5T Flagship (bermula RM89,800) dan 1.5T Flagship X (bermula RM94,800) — kesemua harga tersebut tidak termasuk kos insurans.

Baca Juga:

Pelancaran model sedan keluarga itu merupakan model baharu ketiga Proton yang ditawarkan untuk tahun 2023, sebelum ini model Proton X90 dan smart #1.

Proton S70 dilancarkan dengan 4 varian, harga bermula RM73,800
Sumber Gambar: Hizam Jaafar / The Vocket

Secara ringkas, varian Proton S70 dilengkapi dengan enjin turbo berkapasiti 1.5L dipadankan dengan transmisi klac berkembar automatik 7-speed DCT; menghasilkan output kuasa 175hp dan 255Nm tork.

Daripada segi keselamatan pula, kereta itu dilengkapi sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS) tahap 2, SRS airbags, Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Electronic Stability Control (ESC), Traction Control System (TCS) dan Hill Hold Assist (HHA).

Sumber Gambar: Hizam Jaafar / The Vocket
Sumber Gambar: Hizam Jaafar / The Vocket

Bagi model yang dilancarkan tadi, hadir dengan tujuh pilihan warna Snow White, Armour Silver, Space Grey, Passion Red, Marine Blue, Teal Bayou Green dan Quartz Black. Bagaimanapun, sesetengah warna hanya ditawarkan bagi sebahagian varian sahaja.

Naib CEO Proton Roslan Abdullah berkata bagi 3,000 tempahan terawal dan berdaftar sebelum 29 Februari 2023, para pelanggan layak mendapat Aeorkit bernilai RM3,130 (varian Flagship X sahaja), baucar servis bernilai RM500 (varian Premium dan Flagship sahaja) dan naik taraf Proton Insurans Program, perlindungan Special Perils setahun secara percuma.

Bagi anda yang ingin menempah, bolehlah buat secara online melalui laman web atau singgah mana-mana pusat pameran dan jualan yang ada berhampiran anda.