PRU15 kali ini sangat penuh dengan keputusan yang ‘tidak dijangkakan’ sehingga dua parti utama yang menang besar, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) seperti tiada kata putus untuk menubuhkan gagasan kerajaan baharu walaupun semalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersetuju untuk bergabung membentuk kerajaan persekutuan dengan bersyarat.

Tidak lama selepas itu Zahid mendakwa Barisan Nasional (BN) menafikan ia berunding dengan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Kemudian timbul pula desas-desus menyatakan Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim akan menemui Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan penubuhan kerajaan baharu. Bagaimanapun, Anwar menafikannya.

Susulan desas-desus itu, awal pagi tadi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cuba berunding dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan campuran sebagai tidak sah.

“Sementara ahli UMNO menunggu tindakan berjiwa besar Presiden untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, beliau sebaliknya, kalau betul sebagaimana yang dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan Pakatan Harapan dan DAP.

“Beliau yang telah mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya antara punca kekalahan teruk BN, tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak,” petik kenyataan Facebook Onn Hafiz.

Beliau turut menegaskan bahawa Zahid Hamidi tidak boleh membawa sebarang mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Majlis Tertinggi BN. Jadi, keputusan yang dibuat Zahid Hamidi (rundingan kerajaan campuran) tanpa proses ini adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti.

“Keputusan terakhir UMNO adalah tidak akan bekerjasama dengan Dato Seri Anwar dan DAP. Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. InsyaAllah ada hikmahnya.

“Sekali lagi saya memohon dan merayu agar Presiden UMNO meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera,” kata Onn Hafiz.

Pada pukul 3 petang semalam, satu mesyuarat Majlis Kerja Tinggi UMNO yang dijadualkan dipengerusikan presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah ditangguhkan pada saat-saat akhir.