Tular sebuah video seorang penyokong Tan Sri Noh Omar naik ke atas pentas dan merayu kepada beliau untuk menjadi calon Parlimen Tanjong Karang. Video berdurasi pendek itu dimuat naik oleh Awani di akaun TikTok rasmi laman berita tersebut.

Kelihatan seorang wanita berbaju hitam dengan kaca mata naik dari kiri pentas dan memegang bahu kiri Noh Omar. Dia kemudiannya merayu, “Tan Sri kena tahu orang nak Tan Sri. Orang nak Tan Sri jadi calon. Tan Sri kena faham. Tolonglah Tan Sri…,” katanya.

Baca Juga:

Video itu kemudiannya tular di media sosial TikTok. Sejak dimuat naik, ia telah mendapat lebih 4,000 tanda suka dan sudah ditonton sebanyak 200,000. Sebahagian netizen memuji sikap wanita tersebut yang setia bersama Noh, manakala sebahagian netizen lagi meninggal komen yang berseloroh.

@501awani “Tan Sri kena tahu orang nak Tan Sri. Orang nak Tan Sri jadi calon. Tan Sri kena faham. Tolonglah Tan Sri…,” serunya. #AWANInews #MalaysiaMemilih ♬ original sound – 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menamakan Datuk Habibah Mohd Yusof sebagai calon di kerusi Parlimen Tanjung Karang bagi menggantikan Noh yang memenangi kerusi tersebut selama enam penggal.

Perikatan Nasional (PN) menamakan Datuk Zulkafperi Hanapi sebagai calon di Tanjung Karang manakala Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Siti Rahaya Baharin dari Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai calon.

Ketika ditanya adakah beliau kecewa dengan keputusan parti, Noh memberitahu wartawan bahawa beliau menerima keputusan parti yang tidak mencalonkan pada PRU15 kali ini.

Menurut Noh, sebagai ahli yang setia, beliau tidak akan sesekali melawan parti yang banyak berjasa kepadanya. “Saya orang parti, tak kan lah parti yang banyak berjasa kepada saya ini saya nak lawan. Saya cuma bimbang reaksi rakyat sahaja. Ini kawasan luar bandar, isunya lain… jadi itu yang saya bimbangkan,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran jentera pilihan raya Tanjung Karang.