Sering menjadi perhatian netizen berikutan kerap melakukan laporan polis, calon bebas Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah yang menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengumumkan sedia membotakkan kepala sekiranya berjaya menjadi pilihan majoriti rakyat.

Dilaporkan, pemilihan untuk membotakkan kepala ini dibuat dalam usaha untuk mengikut disiplin wakil rakyat di Dewan Rakyat baik dari segi pakaian dan juga rambutnya yang panjang.

Baca Juga:

“Parlimen ada tatacara pemakaian dan ayah akan ikut peraturan itu. Rambut panjang akan saya ikat, malah sanggup buat majlis cukur rambut.

“Boleh cukur rambut kalau dah menang tiada masalah. Datanglah ramai-ramai di Pantai Port Dickson,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan dengan bekas tentera di Bandar Springhill di sini, malam tadi.

Tidak menyesal untuk mencukur rambut
Sumber: Buzz Kini

Mengulas mengenai janji yang dibuat, beliau akui tidak menyesal sekiranya terpaksa mencukur rambut kerana beliau berpendapat rambut boleh tumbuh sebaliknya sifat beliau yang sayangkan rakyat lebih utama.

“Mereka yang naikkan ayah di Parlimen, ayah akan ikut cakap mereka. Tiada masalah potong atau cukur rambut, itu niat saja bukanlah bernazar,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 31 kawasan telah dilawati Abdul Rani dalam usaha untuk mendekati rakyat sepanjang berkempen di Parlimen Port Dickson yang ditanding oleh 5 individu.

Difahamkan Abdul Rani Abdullah bakal berdepan dengan calon daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan juga calon PEJUANG yang juga merupakan seorang pelakon iaitu Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.