Pada hari semalam Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan isu pelaburan jenama automotif China, BYD di Malaysia.

Sebentar tadi, jenama kereta tempatan, Perodua menyatakan sokongan atas pendirian kementerian terhadap Dasar Automotif Negara (NAP) yang bertujuan menggalakkan pelaburan yang boleh memberi manfaat kepada negara.

“Dengan adanya panduan yang selari dengan NAP, ekosistem industri automotif akan menjadi lebih kukuh dan boleh mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan, seterusnya memberi kebaikan kepada semua pihak yang berkepentingan.

“Ini termasuklah membuka peluang pekerjaan yang mampan dalam jangka masa panjang, pelaburan dalam prasarana, memperkaya modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), komitmen terhadap perkongsian teknologi dan teknikal serta pembangunan usahawan tempatan membabitkan pembekal dan pengedar tempatan,” kata Perodua.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia berpeluang menikmati nilai dan inovasi yang lebih hebat dalam aspek mobiliti.

Di mana ia boleh mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat di negara ini menerusi visi ‘Next Generation Vehicle (NXGV)’ yang digariskan di dalam NAP.

“Antara manfaatnya termasuklah tawaran perkhidmatan lebih luas dan memenuhi permintaan pelanggan oleh pemain industri, perkhidmatan mobiliti tambahan seperti aspek keselamatan yang dipertingkat serta integrasi mudah alih yang berasaskan teknologi Internet.

“Polisi, visi dan pelan hala tuju sedia ada yang digariskan oleh MITI berfungsi sebagai panduan yang komprehensif, telus dan konsisten untuk pemain industri automotif.

“Pujian harus diberikan kepada MITI d atas visinya menjadikan industri automotif Malaysia progresif dengan menyeimbangkan kemajuan dan keterbukaan untuk manfaat semua pihak,” jelas Perodua.