Seorang pelajar lelaki di sebuah madrasah di Sik dilaporkan cedera di beberapa bahagian badan kerana disyaki dirotan gurunya menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) kira-kira dua minggu lalu.

Difahamkan mangsa baru sahaja berusia lapan tahun serta mengalami lebam teruk di punggung dan pinggang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata pihak polis menahan lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai tenaga pengajar di sekolah terbabit.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan tidak sampai 24 jam selepas laporan dibuat ibu angkat mangsa pada 11 November lalu.

“Dia datang ke madrasah secara mengejut untuk membawa anak angkatnya yang juga kanak-kanak warga Indonesia makan.

“Namun sebaik tiba di kedai makan, anak angkatnya itu mengadu sakit sewaktu hendak duduk.

“Pengadu bagaimanapun terkejut melihat kesan lebam pada tubuh mangsa dan terus ke Balai Polis Sik untuk membuat laporan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdull Razak berkata, hasil siasatan mendapati suspek menggunakan sebatang paip PVC yang mengakibatkan mangsa mengalami lebam serta bengkak.

“Suspek direman sehingga 16 November lalu dengan kes sudah pun dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya negeri.

“Suspek dijangka akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Sementara itu dalam perkongsian seorang wanita di Facebook yang tular semalam, dia mendakwa kakaknya adalah ibu angkat mangsa.

Katanya, pada hari kejadian kanak-kanak itu hanya berdiri di kedai makan dan enggan duduk sebelum ibu angkatnya itu meminta dia membuka seluar untuk melakukan pemeriksaan.

“Menggigil kakak dan emak saya (nenek angkat mangsa) apabila tengok kesan rotan.

“Keadaan ini bukan biasa-biasa dan kakak terus hubungi pihak sekolah namun mereka tidak mengaku salah sebaliknya menyalahkan anak angkat kakak saya itu kerana didakwa nakal.

“Memang dia nakal dan aktif tetapi apa yang dilakukan ini nampak bukan seperti rotan atau denda biasa kerana alat digunakan bukan rotan sebaliknya batang paip,” katanya.

Wanita itu berkata, kakaknya turut membuat laporan mengenai kejadian menimpa kanak-kanak itu di pejabat agama.

Sumber