Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memberi peringatan kepada jabatan kerajaan agar tidak melayan sebarang surat yang dihantar selain daripada Bahasa Kebangsaan.

Tegasnya lagi, beliau juga mengarahkan agar surat berkenaan dipulangkan semula jika arahan itu gagal dipenuhi tidak kira sama ada dari sektor swasta mahupun kerajaan.

Baca Juga:

Perdana Menteri memaklumkan bahawa tindakan berkenaan bagi memperkasakan bahasa Melayu dan pembinaan bangsa di negara ini.

Namun, jelasnya, bahasa Inggeris tidak akan dipinggirkan kerana terdapat keperluan penggunaan bahasa itu dalam soal hubungan perdagangan antarabangsa.

“Saya ingin peringatkan hal ini dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan supaya arahannya siapa sahaja menulis selain Bahasa Kebangsaan surat itu akan dipulangkan. Ini tidak akan menjadikan kita sempit.

“Saya tidak meremehkan (bahasa Inggeris) tetapi perlu mengakar di bumi berhubung pemerkasaan budaya dari sudut bahasa, sastera sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa.

“Jangan cuba remehkan, arahan jelas bahawa tidak akan melayani sebarang surat yang disampaikan oleh rakyat, syarikat tempatan dalam bahasa selain bahasa kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) agar terus bergerak ke arah memperkasakan Bahasa Melayu.

Ujar Anwar, kerajaan akan sentiasa memberi sokongan terhadap usaha yang menjadi sebahagian daripada objektif Kerajaan Madani.

Selain itu, beliau turut mengiktiraf sumbangan daripada sasterawan negara yang sememangnya mempunyai kepakaran tersendiri dalam mengolah Bahasa Kebangsaan.