Kalau anda rasa tiket konsert artis antarabangsa kegemaran anda dah cukup mahal sampai kena ikat perut, tunggu dulu sehingga anda lihat harga tiket perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

Pertembungan kemuncak yang mempertemukan dua gergasi bola sepak dunia, Sepanyol dan Argentina, dilaporkan mencipta sejarah baharu – menurut laporan Forbes.

Acara fimal Piala Dunia 2026, kini memegang rekod sebagai acara final sukan dengan purata harga tiket paling mahal pernah direkodkan dalam sejarah tamadun manusia dan tertinggi untuk acara sukan yang pernah dianjurkan di AS.

Cecah RM48,100 Sekeping!

Menurut laporan media perniagaan antarabangsa Forbes, purata harga bagi sekeping tiket untuk menyaksikan aksi final ini melonjak naik sehingga USD11,327 (kira-kira RM48,100).

Angka luar biasa ini bukan sahaja memadamkan rekod lama kejohanan Piala Dunia, malah dengan mudah memotong purata harga tiket bagi acara-acara sukan terbesar yang sering didominasi oleh pasaran Amerika Syarikat sebelum ini.

Sebelum sejarah baharu ini tercipta, rekod purata harga tiket final termahal dipegang oleh perlawanan Super Bowl LVIII pada tahun 2024 membabitkan pertembungan antara San Francisco 49ers dan Kansas City Chiefs, di mana peminat perlu membayar purata USD9,111 (kira-kira RM38,700) sekeping.

Angka tersebut jauh meninggalkan satu lagi acara sukan mega iaitu pentas NBA Finals antara New York Knicks dan San Antonio Spurs, yang sebelum ini merekodkan purata harga tiket sebanyak USD6,308 (kira-kira RM26,800).

Kini, kedua-dua acara sukan agung Amerika Syarikat itu terpaksa akur berada di tempat kedua dan ketiga di belakang kehangatan demam bola sepak global.

Penangan ‘Dynamic Pricing’ & Faktor Messi-Yamal

Mengapa harganya boleh jadi tidak masuk akal? Segalanya berpunca daripada sistem penetapan harga dinamik (dynamic pricing) yang digunakan oleh FIFA.

Sebelum ini, harga tiket final Piala Dunia pada paras USD1,622 atau sekitar RM6,642.25.

Sistem ini konsepnya sama seperti algoritma yang digunakan oleh aplikasi tempahan hotel dan tiket penerbangan. Harga tiket tiada siling tetap dan ia akan terus melonjak tanpa had berdasarkan permintaan yang tersangat tinggi secara mendadak.

Faktor ‘magnet’ utama sudah tentulah kehadiran bintang global. Peminat sanggup berhabis apa sahaja demi menyaksikan pertembungan ikonik antara legenda sepanjang zaman, Lionel Messi, menentang permata muda sensasi Sepanyol, Lamine Yamal.

Sebelum ini, Donald Trump pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Piala Dunia di AS akan menjadi edisi paling menguntungkan dari segi jualan tiket dan komersial—dan nampaknya, ramalan tersebut kini benar-benar menjadi realiti.