Pusat Latihan Kabangsaan (NTC) fasa pertama dijangka siap pada tahun 2026 dimana projek itu menelan belanja sebanyak RM69 Juta.
Fasa 1 projek NTC ini yang dilaksanakan oleh syarikat tempatan, RS Green Master (M) Sdn. Bhd. telah pun bermula pertengahan Jun 2024 merangkumi pembinaan tiga buah padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu padang rumput asli (jenis bermuda), padang rumput hybrid dan padang rumput tiruan (artificial) yang dilengkapi lampu limpah sepenuhnya serta sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi 6 meter di sekeliling kawasan padang.
Baca Juga:
- Indonesia Siapkan Pusat Latihan Kebangsaan Hasil Dana Dari FIFA
- SPRM Sahkan Tiada Rasuah dan Penyelewengan Dalam FAM
- Kobe Chong Belum Adakan Perbincangan Dengan FAM
Ia dijangka siap pada Disember 2026, seterusnya boleh mula diguna pakai oleh pasukan-pasukan kebangsaan dari peringkat senior sehingga bawah umur serta wanita untuk kem latihan pusat menjelang mana-mana kejohanan atau perlawanan antarabangsa.
Fasa 2 pula adalah peruntukan daripada KBS dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tender dijangka dibuka pada September 2024 dengan ia membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi yang merangkumi gimnasium, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan (artificial) yang dibina pada Fasa 1.
Kedua-dua Fasa 1 dan 2 ini akan berjalan dalam waktu yang sama yang mana Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027, sekali gus melengkapkan semua infrastruktur yang terdapat di NTC.
Datuk Haji Hamidin turut berharap dengan terbinanya Pusat Latihan Kebangsaan ini, ia secara tidak langsung menjadi simbolik kepada pembangunan infrastruktur FAM yang telah dirancang sejak beberapa tahun lalu, termasuk projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM, juga terletak di Presint 5, Putrajaya.
“Terima kasih sekali lagi kepada FIFA, terutama presidennya, Gianni Infantino atas sokongan penuh dan dana yang diberikan serta kepada Kerajaan Malaysia atas segala bantuan dan peruntukan yang diberikan kepada FAM.
“Saya berharap apabila siap dan terbina sepenuhnya NTC ini nanti, ia akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya buat skuad senior Harimau Malaya dan skuad B-23 kebangsaan.
“Saya juga berharap apabila ibu pejabat baharu FAM yang turut dibina di Putrajaya ini siap, ia akan dapat membangunkan modal insan yang mahir dari segi pengurusan, teknikal, kepengadilan dan kejurulatihan.
“Insya-Allah dalam masa beberapa tahun lagi, kita dapat melihat mercu tanda baharu bola sepak Malaysia di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya,” ujar Datuk Haji Hamidin.