Kita sedia maklum dengan kehadiran insan terpilih daripada Gaza untuk menerima rawatan di Malaysia dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Namun, sudah ada bibit-bibit skim penipuan yang memainkan sentimen rakyat Palestin yang baru tiba di Malaysia.
Baru-baru ini, sebuah page terkemuka dalam membongkar penipuan iaitu Pseudoscience Watch telah membuat hebahan tentang kegiatan satu badan NGO yang sengaja menunggang isu berkenaan untuk meraih keuntungan daripada rakyat Malaysia.
Menerusi hantaran berkenaan, mereka mendedahkan tentang NGO yang dakwa memerlukan bantuan segera untuk menyediakan pek makanan buat 41 rakyat Palestin yang berada di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
Malah, agak mengejutkan juga apabila NGO itu turut mendakwa derma terbabit juga akan digunakan untuk mendapatkan barangan harian seperti berus gigi, sabun, tuala mandi, selipar dan lampin.
Lalu, pihak PW menegaskan bahawa ini merupakan satu penipuan yang sengaja dilakukan oleh NGO terbabit dalam meraih simpati rakyat Malaysia untuk membuat derma menerusinya.
Dalam masa sama, pihak PW juga berkongsi yang segala kos termasuk pengangkutan, penginapan dan makanan untuk pesakit dari Palestin yang dibawa ke sini sudah ditanggung penuh oleh kerajaan.
Jadi, mana datang logiknya keperluan derma untuk menampung keperluan seharian mereka sepanjang berada di sini.
Oleh itu, PW mengingatkan orang ramai untuk tidak mempercayai kegiatan penipuan yang menunggang isu rakyat Palestin yang menerima rawatan di Malaysia pada ketika ini.