Perlawanan persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 11 April 2025 terpaksa ditunda ke tarikh baharu.
Keputusan tersebut terpaksa diambil oleh kerana kegagalan tetamu istimewa, Ricardo Quaresma untuk turun ke Kedah pada tarikh ditetapkan kerana masalah kesihatan melibatkan ahli keluarganya.
Baca Juga:
- Tiada Sebarang Persetujuan, Kedah Nafi Lawan Santos FC
- Pemain Kedah Dapat Imbuhan Sebelum Bertemu KL City
- Kedah Darul Aman Belanja Tiket Percuma Kepada Penyokong
Perkembangan terkini itu disahkan pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam satu kenyataan rasmi di laman sosial kelab tersebut sebentar tadi.
KDA FC sebelum ini telah mengeluarkan barisan pemain yang akan memeriahkan perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman dengan kehadiran Quaresma, Nelson San Martin, Yang Berhormat Baddrol Bakhtiar dan Radhi Mat Din serta ramai lagi.
Malah penjualan jersi rasmi bagi kedua-dua pasukan juga sudah dimuatnaik di laman Facebook KDA FC.
“Saya mewakili pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC dan penganjur bersama ingin merakamkan permohonan maaf kepada seluruh peminat bola sepak tanah air, khususnya kepada para penyokong yang telah membeli tiket perlawanan All Star Kedah menentang All Star Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 11 April 2025.”
“Dengan penuh rasa dukacita, pihak kami terpaksa menunda perlawanan ini ke satu tarikh baharu. Keputusan ini dibuat selepas menerima makluman bahawa tetamu jemputan khas, Ricardo Quaresma, tidak dapat terbang ke Kedah pada 7 April 2025 seperti yang dijadualkan.”
“Ini berikutan salah seorang ahli keluarganya telah dimasukkan ke hospital dan beliau memilih untuk berada di sisi keluarga pada waktu sukar ini.”
“Ricardo turut menyampaikan permohonan maaf kepada semua peminat menerusi satu video ucapan khas, dan menyatakan komitmennya untuk hadir ke Stadium Darul Aman pada satu tarikh yang akan ditetapkan semula.”
“Beliau mencadangkan tarikh 22 April 2025, namun pihak penganjur masih meneliti kesesuaian tarikh tersebut memandangkan pasukan KDA FC bakal menghadapi perlawanan terakhir Liga Super menentang Terengganu FC dalam tempoh yang sama.”
“Sebaik sahaja tarikh rasmi baharu dimuktamadkan, kami akan maklumkan kepada semua penyokong melalui saluran rasmi kelab,” tambah beliau lagi.