Rafhely FC yang dibimbing jurulatih dari Malaysia, Qusmaini Noor Rusli mencipta sejarah buat kelab tersebut apabila meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Futsal Profesional Indonesia, malam tadi.
Selepas tewas 2-4 dan 3-4 pada aksi awal bertemu Cosmo JNE Jakarta serta Unggul Malang, pasukan dari Padang itu bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk menundukkan Sadakata United 4-3 dalam aksi yang cukup mendebarkan.
Baca Juga:
- Jurulatih Dari Malaysia Dilantik Pengendali Kelab Liga Futsal Pro Indonesia, Rafhely FC
- Pelantikan Jurulatih Malaysia Bimbing Kelab Futsal Indonesia Dapat Perhatian Media Eropah
- Hector Souto: Futsal Indonesia Tak Perlukan Pemain Naturalisasi, Hanya Fokus Pembangunan Akar Umbi
Sebagai pasukan yang membuat penampilan sulung dalam saingan liga futsal paling berprestij di Indonesia itu, kemenangan penting dilakarkan itu pastinya memberikan kepuasan kerana secara tidak langsung ia menjadi sejarah buat Rafhely.

Setelah lima kali mencuba, Rafhely akhirnya berjaya lolos ke Liga Pro Indonesia 2024/25 selepas mara ke pentas final Liga Nusantara yang merupakan liga divisyen 2.
Ia nyata bukan tugas mudah kerana hampir 800 pasukan dari seluruh Indonesia beraksi dalam saingan Liga Nusantara dimana hanya dua pasukan sahaja akan layak ke Liga Pro Futsal Indonesia.
Perlawanan yang berlangsung di Gor Ken Arok, Kota Malang itu menyaksikan Sadakata United membuka tirai jaringan menerusi rembatan padu ketika situasi sepakan ke dalam oleh Dhandi Muhammad pada minit ke-11.
Kegembiraan itu hanya bertahan seminit selepas pemain muda, Ramadhan Ibrohim merampas bola dari kaki pemain lawan lalu melepaskan rembatan yang kembali mengikat kedudukan.
Penjaga gol Rafhely, Farhan Helmy Lubis sekali lagi dikecewakan dengan rembatan jauh pemain lawan dan kali ini ledakan Rizal Musthofa pula meletakkan Sadakata sekali lagi dihadapan pada minit ke-22.
Aksi lebih menarik selepas memasuki minit ke-30 apabila Ramadhan menyamakan kembali kedudukan dan dua minit kemudian sepakan percuma Muhammad Sanjaya memberikan kelebihan 3-2 buat Rafhely.
Sadakata yang dibimbing Fandy Frima Dana Butarbutar tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi tolakan mudah dalam kawasan D oleh Raisal Anugrah pada minit ke-35.
Ramadhan akhirnya muncul wira buat Rafhely pada minit ke-38 apabila beliau berada di kedudukan yang tepat bagi menolak masuk bola ketika percubaan awal rakan sepasukannya terkena palang.

Jaringan itu bukan sahaja menghadiahkan kemenangan sulung buat Rafhely tetapi Ramadhan turut melengkapkan hatriknya pada perlawanan ini.
Dalam aksi bertemu Unggul Malang pada Sabtu lalu, Rafhely FC hampir berjaya mencuri mata tetapi dibolosi pada minit akhir permainan apabila tuan rumah berjaya mendapatkan jaringan kemenangan menerusi Well Pereira yang merupakan bekas pemain import skuad futsal Selangor (musim 2024).
Pasukan milik suami kepada penyanyi band terkenal Indonesia, Momo Geisha (Narova Morina Sinaga) itu turut diperkuatkan dengan dua bekas pemain yang pernah beraksi dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Guntur Sulistyo Ariwibowo (Selangor & Gombak TOT United dan Pahang Rangers) dan Anton Cahyo Nugroho (Kelantan dan Selangor TOT United).