Kejayaan usahawan dan personaliti media sosial popular, Khairul Aming pastinya sentiasa menjadi inspirasi ramai.

Terbaru, pemuda berusia 34 tahun ini berjaya memecahkan rekod sekali lagi dengan meraih jualan menakjubkan lebih RM4 juta menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok Shop.

Namun, di sebalik sorakan dan angka jutaan ringgit itu, tersimpan satu kisah peribadi yang cukup meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Kejayaan yang diiringi air mata rindu

Dalam kerancakan sesi jualan tersebut, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, tiba-tiba sebak dan gagal menahan air mata.

Di kemuncak pencapaiannya hari ini, ingatannya terus melayang kepada arwah bapa tercinta yang tidak sempat melihat empayar perniagaan yang dibinanya dari bawah.

Beliau dengan rendah diri mengingatkan para penonton bahawa beliau bermula dari titik sifar.

“Saya bukan anak siapa-siapa. Ayah saya sudah tiada, bahkan pencen dia pun tak ada,” luahnya dengan nada yang cukup beremosi berdasarkan rakaman sesi siaran langsung tersebut yang dikongsikan.

Terkilan tak dapat beli ubat untuk ayah

Bahagian paling menyedihkan adalah apabila beliau membuka cerita tentang fasa tergelap dalam hidupnya sebelum bergelar usahawan berjaya.

Ketika arwah bapanya jatuh sakit teruk suatu ketika dahulu, beliau terpaksa berhadapan dengan kekangan kewangan yang sangat perit. Perasaan tidak berdaya sebagai seorang anak jelas masih dirasai hingga ke hari ini.

“Sebelum dia meninggal dunia saya tak ada duit, nak beli ubat dekat dia pun tak ada duit. Dia minta RM50 pun saya tak boleh nak bagi ketika itu,” kongsi Khairul Aming, mengenang kembali betapa nipisnya wang simpanan beliau pada masa itu.

Harapan yang tidak kesampaian

Siapa sangka, jenama Sambal Nyet yang kini menjadi fenomena dan punca rezeki utamanya hanya dilancarkan selepas pemergian bapanya. Kejayaan besar ini datang sedikit terlewat untuk dikongsi dan diraikan bersama wira pertamanya itu.

Beliau meluahkan rasa ralat kerana tidak dapat menggunakan rezeki yang melimpah ruah hari ini untuk memberikan keselesaan dan rawatan terbaik.

“Selepas ayah meninggal baru saya lancarkan Sambal Nyet, jadi dia tak sempat tengok. Saya harap sangat boleh guna sedikit duit jualan ini untuk tolong dia ketika dia sakit sebab masa tu saya rasa tak berdaya.

“Nak beli ubat tak boleh, nak upah penjaga pun tak boleh sebab saya kerja makan gaji. Saya perlu berada di pejabat, tak boleh selalu jaga dia di hospital,” jelasnya lagi bersama linangan air mata.

Inspirasi untuk terus menghargai keluarga

Kisah Khairul Aming ini sarat dengan elemen kemanusiaan. Ia bukan sekadar cerita tentang angka jualan atau strategi pemasaran yang hebat, tetapi satu tamparan realiti buat kita semua.

Perjalanan dari seorang pekerja makan gaji yang tidak mampu menghulurkan wang RM50 kepada bapanya, sehinggalah bergelar jutawan berjiwa besar, membuktikan bahawa usaha tanpa jemu pasti membuahkan hasil.

Lebih dari itu, ia adalah satu pesanan bermakna agar kita sentiasa menghargai dan membalas jasa ibu bapa selagi peluang itu masih ada.

Boleh tonton video penuh di bawah ini:-

Sumber