Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini membuka pasaran baharu di China apabila orang awam boleh menjual lesen penggunaan wajah mereka kepada pencipta kandungan.
Wajah individu biasa boleh digunakan dalam drama pendek AI, iklan, permainan video, animasi dan pelbagai kandungan digital lain.
Sejak April lalu, urusan menjual penggunaan wajah yang sebelum ini banyak berlaku dalam kumpulan sembang industri filem dan televisyen mula beralih kepada platform awam.
Menurut laporan South China Morning Post, seorang pekerja bank dilaporkan memperoleh hampir 2,500 yuan (sekitar RM1,040) selepas sebuah syarikat pengiklanan membeli lesen penggunaan wajahnya sebanyak tujuh kali dalam tempoh tiga hari.
Antara platform yang menawarkan perkhidmatan ini ialah Yuanxiang Xinsheng di Shenzhen, yang dilancarkan pada Mei lalu.
Pengguna boleh mencipta profil sebagai “pelakon digital”, menetapkan tempoh penggunaan, kandungan yang dilarang serta hak pengubahsuaian.
Bayaran lesen bermula daripada 50 yuan (sekitar RM21) sehingga 99,999 yuan (sekitar RM41,600).
Seorang lelaki berusia 34 tahun dikenali sebagai Chen, misalnya, mengenakan bayaran 99 yuan (sekitar RM41) untuk satu penggunaan wajahnya. Dia membenarkan wajahnya digunakan dalam karya percintaan dan keluarga, tetapi menolak kandungan seram dan seksual.
Seorang wanita dari Guangdong, Kele, pula menyertai platform tersebut bagi melindungi identiti digitalnya.
Menurutnya, dia tidak lagi terlalu bimbang wajahnya dicuri AI kerana pengguna perlu mendapatkan kebenaran dan membayar lesen untuk menggunakannya.
Bagaimanapun, lesen wajah tidak secara automatik memberikan hak untuk menggunakan wajah tersebut bagi melatih model AI, kecuali perkara itu dipersetujui secara jelas.
Platform Xinzhua di Chengdu pula mempunyai kira-kira 370 profil pelakon digital dengan bayaran antara 500 yuan (sekitar RM208) hingga 6,000 yuan (sekitar RM2,500).
Pencipta kandungan boleh mencari wajah berdasarkan jantina, umur, gaya dan genre untuk kegunaan iklan, filem, animasi serta permainan video.
Namun, trend ini turut menimbulkan persoalan mengenai privasi dan persetujuan, terutama melibatkan kanak-kanak.
Pakar undang-undang menyatakan kanak-kanak bawah 14 tahun memerlukan kebenaran ibu bapa bagi pemprosesan data wajah.
The Beijing News turut melaporkan sesetengah kontrak platform didakwa lebih memihak kepada pengendali. Menurut peguam Dai Yue, terdapat kontrak yang meminta pengguna mengetepikan tuntutan berkaitan wajah, suara, nama dan hak peribadi lain.
Pengguna juga boleh dikenakan penalti sekurang-kurangnya 50,000 yuan (sekitar RM20,800) jika menarik balik kebenaran lebih awal.
🚨 AI IS PUTTING A PRICE ON YOUR FACE! 🤯
People in China are selling rights to their faces for AI dramas, ads & games.
Fees: Up to ₹14 LAKH!
The AI economy is getting wild. 🤖 pic.twitter.com/6UHxCp60ce
— News Matrix (@NewsMatrixIND) September 20, 2026
Di media sosial China, ada yang melihatnya sebagai peluang baharu untuk menjana pendapatan, manakala sebahagian lain mempersoalkan nilai wajah orang biasa kerana AI sendiri mampu menghasilkan wajah baharu.
Trend ini menunjukkan wajah manusia kini mula menjadi satu bentuk aset digital yang boleh dilesenkan dan menjana pendapatan.