Rakyat Kelantan kini dibenarkan untuk mengusahakan perlombongan emas menggunakan kaedah mendulang di tanah milik kerajaan.
Memetik Harian Metro, pengumuman ini disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan, semasa sesi penggulungan perbahasan belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Beliau menambah, lesen akan dikeluarkan mengikut syarat-syarat khusus bagi membolehkan aktiviti ini dijalankan secara sah.
“Kerajaan (negeri) bercadang untuk membenarkan rakyat mengusahakan perlombongan emas secara kaedah mendulang.
“Teruskan mendulang atas tanah kerajaan, jangan menceroboh tanah yang diberi kepada syarikat atau sesiapa sahaja.
“Kerajaan (negeri) akan beri lesen sudah tentu dengan syarat tertentu bertujuan rekod dan menjaga keselamatan dalam masa sama adalah untuk memantau supaya ia nanti tak merosakkan alam sekitar. Itu berita gembira untuk rakyat,” katanya.
“Keputusan (membenarkan mendulang) ini dibuat sebagai respons kepada pertanyaan rakyat mengenai faedah langsung yang mereka terima daripada kekayaan perlombongan emas negeri,” jelas beliau.
Dengan kaedah mendulang yang sah ini, katanya, rakyat kini akan menikmati faedah secara langsung daripada khazanah bumi Kelantan. Kenyataan beliau itu turut diserikan dengan serangkap pantun.
“Gunung tinggi bukan penghalang, laut luas bukan alasan, kerajaan adil negeri gemilang, rakyat tetap diberi keutamaan,” katanya yang disambut dengan tepukan daripada barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).