Pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia mencetuskan rasa kurang senang, bukan sahaja dalam kalangan ahli politik, malah rakyat Malaysia sendiri, lapor South China Morning Post.

Nick Adams, seorang penulis, pempengaruh media sosial dan penganut ideologi ekstrem kanan dari kem Trump, telah dicalonkan oleh Presiden Donald Trump sebagai wakil diplomatik ke Malaysia.

Nick Adams

Namun latar belakang Adams, termasuk kenyataan berbaur Islamofobia, sokongan terbuka terhadap rejim Zionis Israel, serta tindakan mendiskriminasi individu yang menyatakan solidariti terhadap Palestin, telah menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan rakyat dan pemimpin Malaysia.

Reaksi Keras Dari Pelbagai Pihak

Mus’ab Muzahar, Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda AMANAH, menyifatkan keputusan Trump itu sebagai “penghinaan terhadap dasar luar negara Malaysia yang menjunjung keamanan dan solidariti bersama rakyat tertindas, khususnya Palestin.”

Beliau menggelar Adams sebagai “propagandis ekstrem kanan, tokoh Trumpis dan penyokong lantang rejim Zionis” yang tidak membawa semangat diplomatik dalam dirinya.

Retorik media sosial Adams yang penuh dengan kebencian, perkauman dan Islamofobia jelas bertentangan dengan nilai-nilai  hubungan dua hala yang Malaysia amalkan sejak sekian lama.

Nick Adams

Tidak cukup dengan itu, Nick Adams juga pernah bangga kerana berjaya memaksa sebuah restoran di Amerika memecat seorang pelayan wanita hanya kerana memakai pin “Free Palestine”.

Tindakan ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah bertentangan dengan nilai kebebasan bersuara dan solidariti sejagat.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, turut bersuara dengan merujuk kepada Artikel 4 Konvensyen Vienna yang memberikan hak penuh kepada Malaysia untuk menolak mana-mana calon duta tanpa perlu memberi sebarang alasan.

“Kini terpulang kepada Wisma Putra,” katanya ringkas tetapi penuh makna.

Malaysia selama ini mengekalkan hubungan diplomatik berdasarkan prinsip saling menghormati dan nilai kemanusiaan.

Kehadiran Nick Adams bukan sahaja boleh mencalarkan hubungan dua hala, malah berpotensi mencetuskan ketegangan domestik.

Apa Kesan Jika Malaysia Tolak?

Jika pencalonan Adams diluluskan oleh Dewan Senat AS, dan Malaysia memilih untuk menolaknya, langkah itu berkemungkinan akan mengundang reaksi keras dari Trump.

Malaysia sendiri baru-baru ini menjadi sasaran dalam ‘perang tarif’ Trump, apabila cukai import terhadap barangan Malaysia dinaikkan kepada 25%.

Nick Adams

Namun dalam konteks ini, ramai melihat penolakan terhadap Adams sebagai satu isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia bukan sekadar negara kecil yang patuh, tetapi negara berdaulat yang tahu mempertahankan prinsipnya.