Seorang lelaki warga Malaysia rugi lebih RM20,000 setelah menjadi mangsa penipuan skim derma sperma dalam talian, lapor SCMP.

Mangsa, yang dikenali sebagai Lee, berusia 49 tahun, mendedahkan kejadian malang ini dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada 24 September lalu.

Segala-galanya bermula apabila Lee tertarik dengan iklan dalam talian yang membuat tawaran untuk “membeli sperma pada harga tinggi”.

Tanpa disangka, dia kemudiannya dihubungi oleh seorang wanita bernama Chen melalui aplikasi WhatsApp.

Chen mendakwa dirinya berasal dari Singapura dan menyatakan bahawa dia bersedia membayar RM1 juta kepada Encik Lee jika spermanya berjaya membuatkan beliau hamil.

Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah proses skim derma sperma yang dikatakan itu akan melibatkan hubungan seksual.

Apabila ditanya kenapa wanita itu memilihnya, Lee menjelaskan bahawa mereka telah bertukar gambar, dan Chen mendakwa tertarik kerana penampilannya yang “matang dan stabil”.

Pada awalnya, Chen memintanya untuk berhubung dengan seorang “peguam” yang kononnya akan menguruskan segala urusan perjanjian.

Peguam tersebut meminta deposit RM1,000 sebagai tanda ikhlas dan mahu melihat adakah Lee mampu.

Chen berjanji bahawa selepas pembayaran dibuat, peguam akan menghubunginya untuk menandatangani perjanjian serta memberikan bayaran pendahuluan sebanyak RM300,000.

Selepas itu, segala urusan seperti penginapan hotel dan perbelanjaan lain akan diuruskan oleh pihak Chen.

Namun, selepas membayar deposit, “peguam” itu mendakwa Lee perlu membayar yuran pemprosesan sebanyak RM24,000 sebelum bayaran pendahuluan boleh diberikan.

Malangnya, walaupun wang itu telah dipindahkan, Lee diminta untuk membayar tambahan RM30,000 sebagai yuran pemindahan antarabangsa.

Ketika ini, Lee baru sedar bahawa dia telah ditipu.

Merasa dirinya telah menjadi mangsa penipuan, Lee kemudian mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, percaya bahawa sindiket tempatan terlibat kerana mereka menggunakan nama firma guaman tempatan dalam modus operandi mereka.

Setelah menghubungi firma guaman yang terlibat, didapati bahawa Chen bukan pelanggan mereka, dan nama firma tersebut telah disalahgunakan oleh penipu.

Chong turut menambah bahawa suara Chen yang didengari melalui mesej suara juga kedengaran seperti suara robot dengan loghat asing.