Malaysia memang cukup dikenali sebagai syurga makanan kerana terdapat pelbagai jenis juadah tradisional mahupun moden yang ditawarkan di luar sana.

Namun, lama-kelamaan dengan tiada kawalan nutrisi yang seimbang boleh mendorong kepada kompilasi kesihatan yang serius seperti sakit jantung dan obesiti berlebihan di dalam masyarakat.

Masalah kronik tersebut kini menjadi sebutan oleh pihak KKM selepas dilihat semakin meruncing. KKM mendedahkan bahawa masyarakat Malaysia semakin gemuk secara keseluruhannya.

Difahamkan 1 daripada 2 dewasa Malaysia adalah berlebihan berat badan dan obes.

Laporan NHMS 2023 menunjukkan prevalen obesiti dan berat badan berlebihan terus meningkat daripada 50.1% (2019) kepada 54.4% (2023).

Perlu diketahui, obes dan berlebihan berat badan adalah faktor risiko kepada diabetes, hipertensi, kolestrol tinggi dan sakit jantung.

KKM memberi peringatan kepada orang ramai untuk bertindak sekarang dan menekankan bahawa obesiti bukan suatu kebiasaan.

Ini termasuklah dengan makan secara sihat, bergerak secara aktif, jauhi rokok dan alkohol.

Sumber Gambar: X @KKMPutrajaya

Ciapan yang dibuat menerusi akaun rasmi KKM itu lantas menjadi perhatian pengguna di X. Rata-rata meluahkan kerisauan dengan stastitik yang didedahkan itu.

Malah, ramai mendakwa perkara ini boleh terjadi disebabkan rakyat Malaysia gemar akan juadah manisan dan juga gorengan yang tinggi nilai kolesterolnya.

Bukan itu sahaja, sikap malas untuk berjalan pada setiap hari juga mendorong kepada masalah serius itu.

Salah seorang ejen takaful turut berkongsi dengan tahap BMI yang tidak normal juga bakal menyukarkan mereka yang mahu mendapatkan perlindungan insurans walaupun di usia muda ini.

Dek kerana terpukul dengan realiti tahap kesihatan yang semakin merisaukan, rata-rata netizen mendedahkan mereka terpanggil untuk mula menjalani hidup yang lebih sihat dengan makanan yang seimbang dan lebih kerap bersenam selepas ini.