Bekas pengurus Manchester United, Ralf Rangnick menggariskan dua perkara yang membuatkan kelab tersebut berada dalam keadaan tertekan untuk tampil lebih baik.

Perkara pertama dari kaca mata beliau ialah kegagalan dalam merekrut pemain yang benar-benar mampu memberikan sumbangan berkesan buat pasukan serta aspek kekurangan sikap kepimpinan dalam kelab tersebut.

Baca Juga:

Dua aspek tersebut telah merintis kepada prestasi yang cukup hambar buat Manchester United terutamanya pada musim lalu apabila The Red Devils sekadar menamatkan saingan liga di kedudukan ke-15 hasil 11 kemenangan, sembilan keputusan seri dan 18 kekalahan.

Satu statistik serta kedudukan yang sudah cukup untuk menceritakan betapa teruknya musim dilalui Manchester United.

Masalah Manchester United Dari Kaca Mata Ralf Rangnick

“Jika saya adalah pemilik atau pengarah sukan, saya hanya akan cuba menandatangani dan melabur dalam pemain muda kerana tidak kira bagaimana anda melihatnya, ia memang masuk akal. ”

“Adakah masuk akal untuk membelanjakan yuran perpindahan sebanyak 30/40/50 juta untuk pemain berusia 30 atau 28 tahun? Mari kita buat pengiraannya.”

Ralf Rangnick
Kredit Foto: Lindsey Parnaby / AFP)

“Anda menandatangani pemain berusia 30 atau 28 tahun, berikan dia kontrak selama lima tahun. Anda belanjakan purata 15 juta setahun untuk gaji, kali lima, itu sudah 75 juta,” ujar Ralf Rangnick menurut sumber laporan Goal.

“Jumlah keseluruhan sekitar 110/120 juta, kemudian ada pula yuran ejen. Keseluruhan perjanjian mencecah kira-kira 150 juta. Untuk apa sebenarnya?”

“Anda takkan dapat semula wang itu. Kalau nasib tak menyebelahi, pada tahun-tahun terakhir kontraknya, pemain itu mungkin langsung tak bermain lagi.”

“Satu-satunya perkara yang anda lakukan dengan cara itu hanyalah melabur untuk kemungkinan kejayaan yang lebih besar dalam beberapa tahun pertama.”

“Ini sebenarnya satu pertaruhan. Saya sendiri takkan benarkan perkara begitu berlaku,” tambah beliau lagi.

Selain itu, Ralf Rangnick turut melihat kelemahan dari segi kepimpinan turut menghantui kem Manchester United.

Ralf Rangnick
Kredit Foto: Lindsey Parnaby / AFP)

“Sejak saya tinggalkan kelab, mereka telah berbelanja £700, £800 juta dan kini pasukan berada di tangga ke-15.”

“Mereka telah bertukar jurulatih berkali-kali. Sekarang masih ada (Ruben) Amorim, seorang jurulatih yang sangat bagus tetapi jika pada akhirnya ia tidak menjadi, akan datang pula jurulatih lain, dengan sistem permainan atau falsafah yang berbeza, dan dia akan bawa masuk pemain lain pula.”

“Dan ini membawa kita kembali kepada apa yang kita bincangkan pada awal tadi tentang Johan Cruyff. Mesti ada seseorang yang menetapkan perancangan sebenar.”

“Saya rasa kita kena kembali ke tahun 2013, ketika Sir Alex meninggalkan kelab. Semasa beliau masih ada, beliau adalah arkitek utama segalanya.”

“Mungkin juga beliau membawa ramai individu penting ke dalam kelab. Dan apabila beliau pergi, mungkin sebahagian daripada mereka juga turut meninggalkan kelab.”

“Sejak itu, saya rasa kelab menghadapi masalah kepimpinan: siapa sebenarnya yang buat keputusan dan kenapa mereka buat keputusan tersebut?” tambah Ralf Rangnick lagi.

Sumber