Sejak 1 Februari lalu, sebahagian individu yang sudah membayar pakej percutian bersama pempengaruh atau usahawan bernama Kim Seri mula menyoal dimanakah pengembalian wang seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Terbaharu, tuan badannya sendiri telah memuat naik satu hantaran IG Stories berhubung isu yang berbangkit. Kim Seri mengakui masih belum mampu refund kepada pelanggannya.

Perlukan lebih masa untuk langsai hutang
Dia mengakui dirinya memerlukan lebih masa untuk melangsaikan segala hutang kepada pelanggan-pelanggan yang menjadi mangsa.
“Kepada semua yang menanti 1 Februari, mohon maaf kerana terlambat untuk update. Sekali lagi, saya meminta maaf kerana mengambil sedikit masa untuk selesaikan pembayaran balik,” tulisnya pada IG Stories.
Untuk mendapatkan semula kepercayaan orang ramai, dia turut memberi jaminan bahawa dirinya akan meningkatkan usaha untuk membayar semula secepat mungkin.

Difahamkan kerugian ini membabitkan RM400,000 dan sebelum ini berjanji akan melangsaikan segala hutang sebelum atau pada 1 Februari 2025.
Sebab sekat mesej di WhatsApp
Dalam hantaran lain, dia turut mengakui terpaksa menyekat beberapa individu yang menghantar mesej berbaur ugutan ekoran isu proses pembayaran semula yang masih belum selesai.
Mesej-mesej yang dihantar bukan sahaja berbaur kebencian malah ada yang terima sticker mengandungi grafik ganas yang membuatkan dirinya merasa tidak selesa.
Tegasnya, dia masih memiliki kesemua data nombor akaun bank masa serta sedia menghantar semula wang kepada mereka yang terbabit dan memaklumkan sudah melakukan transaksi menerusinya.

Mengimbas kembali, dia juga sudah tidak memegang sebarang jawatan atau pemilikan terhadap sebuah restoran yang menawarkan makanan Malaysia di Korea Selatan.
Oleh itu, pemilik asal meminta orang ramai untuk tidak mengaitkan identiti restoran dengan pempengaruh tersebut selepas terpalit isu mengambil wang sejumlah pelanggan menerusi pakej perlancongan yang ditawarkan olehnya.