Kemenangan dramatik 4-3 ke atas Kyrgyzstan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 bukan sahaja mengembirakan peminat bola sepak tempatan tetapi turut memberi pulangan dari segi mata ranking FIFA.

Skuad kendalian Kim Pan Gon mampamerkan kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan 1-3 namun tiga mata dirampas Malaysia pada minit akhir selepas jaringan Faisal Halim melengkapkan kemenangan bergaya 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Hasil kemenangan ke atas pasukan ranking 97 dunia tersebut menyaksikan Malaysia memperolehi tambahan sebanyak 15.49 mata ranking FIFA dan telah melonjak 7 anak tangga sehingga 130 dunia setakat ini.

Ini juga adalah kemenangan pertama Harimau Malaya ke atas pasukan 100 terbaik dunia dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Secara keseluruhan, Malaysia telah mengumpul 1112 mata sekaligus semakin menghampiri sasaran berada dalam kelompok ranking 120 dunia.

Malah, Malaysia juga berpeluang mendaki lebih tinggi jika mereka berjaya menewaskan Chinese Taipei dalam aksi kedua kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung pada 21 November ini.

Bagaimanapun, kedudukan itu masih belum muktamad kerana perlu mengambil kira beberapa keputusan membabitkan negara lain dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026.

Ianya bukan mustahil jika Malaysia mencipta kejutan melonjak beberapa anak tangga dengan syarat mereka konsisten mencatat kemenangan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia yang menawarkan mata ranking lebih besar daripada aksi persahabatan antarabangsa.

Januari depan, Harimau Malaya bakal menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Qatar dan ia juga merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki kedudukan ranking FIFA kerana jumlah mata yang ditawarkan cukup tinggi.