Skuad Harimau Malaya kini naik satu anak tangga dalam kemas kini terbaru ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 28 November lepas.

Kemenangan 3-1 ke atas Laos dan seri 1-1 berdepan India dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 14 dan 18 November lalu menyaksikan Harimau Malaya berada di kedudukan 132 dunia, berbanding 133 sebelum ini.

Baca Juga:

Kedudukan itu bermakna Malaysia sah diletakkan dalam ‘Balang 2’ bagi undian Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 19 Disember ini.

Berada dalam balang 2 bermakna Malaysia perlu bekerja keras dan elak kehilangan mata kerana saingan akan menjadi lebih sukar.

Justeru, kedudukan Malaysia dalam ‘Balang 2’ menyaksikan mereka berpotensi bertemu enam pasukan yang jelas berada pada ranking lebih tinggi di ‘Balang 1’ iaitu Syria, Thailand, Tajikistan, Lubnan, Vietnam serta India.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan laluan sukar dalam misi menempah tiket beraksi di Piala Asia 2027 apabila hanya satu sahaja slot automatik ditawarkan untuk juara kumpulan dalam saingan kelayakan.

Sementara itu, Balang dua pula dibarisi Malaysia, Turkmenistan (143), Filipina (149), Afghanistan (155), Hong Kong (156) dan Yaman (158).

Balang tiga pula dihuni Singapura (161), Maldives (162), Taiwan (165), Myanmar (167), Nepal (175) dan Bhutan (182) manakala Brunei (184), Bangladesh (185), Laos (186), Timor Leste (196), Pakistan (198) dan Sri Lanka (200) dalam balang empat.

Pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula Mac tahun depan dibahagikan kepada enam kumpulan dengan hanya juara setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.