Kejayaan Indonesia menewaskan Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 semalam telah memberikan pulangan besar dari segi mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kemaskini tidak rasmi di laman footy rankings, skuad Garuda naik 5 anak tangga ke kedudukan 138 dunia selepas mengutip tambahan mata sebanyak +15.37 hasil kemenangan 1-0 ke atas Vietnam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Manakala Vietnam turun 7 anak tangga ke 112 dunia dan kini mengalami kemerosotan mendadak di kedudukan ranking FIFA sejak tewas dalam semua perlawanan peringkat kumpulan di Piala Asia 2023 bulan lalu.

Lebih menarik, ini adalah kemenangan pertama Indonesia peringkat kumpulan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia selepas 19 tahun 8 bulan.

Ia juga merupakan kali kedua mereka menewaskan Vietnam dengan jaringan yang sama selepas saingan Piala Asia 2023.

Dengan jumlah keseluruhan mata yang dikumpulkan setakat ini iaitu 1088.03, Indonesia semakin menghampiri kedudukan Malaysia yang kini turun ke 134 dunia selepas tewas 0-2 kepada Oman.

Skuad Harimau Malaya kehilangan -8.03 mata sekaligus menjadikan jumlah mata yang terkumpul ialah 1103 berbanding 1110.17 mata pada kemaskini bulan lepas.

Indonesia yang dikendalikan oleh Shin Tae Yong turut berpeluang naik beberapa anak tangga dalam kedudukan ranking FIFA jika berjaya menewaskan Vietnam sekali lagi di Stadium My Dinh pada 26 Mac ini.

Tidak mustahil mereka akan melonjak sehingga kelompok 120 dunia sekaligus memintas Malaysia jika konsisten mencatat kemenangan dalam beberapa perlawanan akan datang.

Untuk makluman, jumlah mata ranking yang ditawarkan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia lebih besar daripada aksi persahabatan antarabangsa.