Kejayaan Indonesia menewaskan Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 semalam telah memberikan pulangan besar dari segi mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kemaskini tidak rasmi di laman footy rankings, skuad Garuda naik 4 anak tangga ke kedudukan 135 dunia selepas mengutip tambahan mata sebanyak +14.66 hasil kemenangan 3-0 ke atas Vietnam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Beberapa hari lepas mereka berada di kedudukan 138 dunia selepas mengutip mata sebanyak +15.37 apabila menewaskan Vietnam 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno.

Ianya menjadikan jumlah mata keseluruhan yang dikumpulkan oleh Indonesia ialah sebanyak 1102.7 sekaligus membantu memotong kedudukan ranking Malaysia.

Kekalahan 0-2 kepada Oman menyebabkan Malaysia kehilangan mata sebanyak -7.68 dan dijangka turun 3 anak tangga sehingga di kedudukan 137 dunia.

Jumlah mata keseluruhan yang dikumpul oleh skuad Harimau Malaya setakat ini ialah 1096.22 dan kembali semula ke kedudukan keempat ASEAN di belakang Thailand, Vietnam dan Indoensia.

Kedudukan rasmi ranking setiap negara akan dikeluarkan oleh FIFA pada bulan April nanti.

Indonesia yang dikendalikan oleh Shin Tae Yong mengalami peningkatan prestasi sejak diperkuatkan oleh beberapa pemain naturalisasi yang berkualiti dari kelab luar negara.

Tidak mustahil mereka akan melonjak sehingga berada dalam kelompok 120 dunia jika konsisten mencatat keputusan positif dalam beberapa perlawanan akan datang.

Mereka juga kini mempunyai peluang cerah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027.

Untuk makluman, jumlah mata ranking yang ditawarkan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia lebih besar daripada aksi persahabatan antarabangsa.