Como yang kembali ke saingan Serie A selepas penantian 21 tahun kelihatan cukup bernafsu untuk membawa masuk pemain-pemain berpengalaman untuk memperkuatkan pasukan.

Berjaya dinaikkan pangkat ke Serie A 2024/25 selepas menamatkan kempen Serie B musim lalu di kedudukan kedua nyata merupakan satu kejayaan manis dikecapi kelab tersebut.

Baca Juga:

Hal ini kerana Como sebelum ini pernah terperosok hingga ke saingan Serie D ekoran masalah kewangan kronik hingga disahkan muflis pada penghujung 2004.

Kehadiran adik beradik Hartono (Micheal Bambang Hartono dan Robert Budi Hartono) telah mengubah segalanya dan dengan perancangan rapi dijelmakan tampak kian membuahkan hasil.

Sehubungan dengan itu, Como yang dibimbing Osian Roberts sedang berusaha membawa masuk pemain nama besar untuk menguatkan jentera pasukan bagi menghadapi kempen lebih sukar pada musim ini.

Difahamkan menurut sumber laporan Goal, Como dan bekas pemain pertahanan Real Madrid dan Manchester United, Raphael Varane sudah menyatakan persetujuan untuk berhijrah ke sana.

Kedua-dua pihak pada ketika ini berada di fasa penilaian kontrak dan menanti ujian perubatan dilakukan sebelum beliau sah bergelar pemain baharu skuad I Lariani itu.

Bekas rakan sepasukan Varane di Manchester United, Anthony Martial yang juga sudah bergelar ejen bebas juga dikatakan sudah mendapat tawaran daripada Como.

Selain itu, duo bekas pemain Liverpool iaitu Pepe Reina dan Alberto Moreno serta seorang lagi penjaga gol Sepanyol, Pau Lopez dikatakan semakin hampir untuk ke Stadio Comunale G. Sinigaglia.

Sebelum ini bekas pemain skuad kebangsaan Itali, Andrea Belotti menyertai pasukan dengan yuran perpindahan bernilai €4 juta.

Sumber