Rapid KL mengesahkan bahawa insiden melibatkan sebuah tren di Stesen Stadium Shah Alam, Laluan Shah Alam pada 4 Julai 2026, jam 7.05 malam yang lalu, berpunca daripada masalah teknikal pada salah satu komponen tren.

Isu tersebut telah menyebabkan berlaku sentuhan dengan konduktor kuasa, sekali gus mencetuskan bunyi letupan kecil dan percikan api.

Susulan kejadian itu, tindakan segera telah diambil dengan mengeluarkan tren berkenaan daripada perkhidmatan.

Kesemua penumpang telah diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren alternatif.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, manakala operasi keseluruhan di Laluan Shah Alam kekal berjalan seperti biasa tanpa gangguan jadual.

Tren yang terlibat telah dibawa ke depoh bagi menjalani pemeriksaan dan penilaian secara menyeluruh. Komponen yang mengalami kegagalan teknikal tersebut telah pun diganti sepenuhnya.

Tren berkenaan juga telah disahkan selamat untuk kembali beroperasi selepas melepasi ujian pemeriksaan ketat yang ditetapkan.

Rapid KL menegaskan bahawa keselamatan para penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi syarikat.

“Pihak kami memandang serius terhadap sebarang insiden yang menjejaskan kelancaran operasi.

“Sebagai langkah pencegahan proaktif, pemeriksaan rutin dan pemantauan rapi terhadap tren-tren lain turut dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

“Para pengguna dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai status perkhidmatan Laluan Shah Alam menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi perjalanan MyRapid PULSE,” petik kenyataan rasmi.

Sumber