Rapid KL dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia telah memperkenalkan perkhidmatan perantara van percuma khas bagi orang ramai yang mempunyai urusan rasmi di Parlimen serta pengunjung Taman Botani Perdana.
Inisiatif ini beroperasi bermula 5 Oktober hingga 22 Disember 2026 sebagai langkah memudahkan pergerakan orang ramai serta mengurangkan kesesakan tempat meletak kenderaan di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada poster makluman, perkhidmatan perantara ini ditawarkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan peribadi.
Laluan perkhidmatan van ini merangkumi tiga lokasi utama iaitu KL Sentral (Balai Pelepasan ERL), Taman Botani Perdana (Berhampiran Parkir Bertingkat), dan Parlimen (Berhampiran Kafeteria Bangunan Sementara).
Perkhidmatan ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 7.00 pagi hingga 8.00 malam.
Kekerapan van ditetapkan seperti berikut:
Waktu Puncak (7.00 pagi – 11.00 pagi & 4.00 petang – 8.00 malam): Kekerapan setiap 30 minit.
Bukan Waktu Puncak (12.00 tengah hari – 4.00 petang): Kekerapan setiap 60 minit.
Bagi laluan perantara ini, van dijangka tiba di Taman Botani Perdana dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pelepasan dari KL Sentral atau Parlimen, tertakluk kepada keadaan lalu lintas semasa.
Selain ahli-ahli yang mempunyai urusan rasmi di Parlimen, perkhidmatan van percuma ini juga dibuka untuk kegunaan orang awam yang ingin berkunjung ke Taman Botani Perdana.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi pergerakan van boleh mengimbas kod QR yang disediakan pada poster makluman rasmi Rapid KL atau klik pautan di sini.