Perkenalan saya dan penulis buku ini bermula sejak tahun 2016 sewaktu pertama kali saya meminta izin daripada beliau untuk menyiarkan kembali status dan penulisan tentang 3 taikun kosmetik negara.
Anda boleh baca kisah tersebut di link ini: 3 Alasan Mengapa Kita Wajar Kagum Dengan Dato Aliff Terlajak Laris Dan Dato Vida Qu Puteh
Sejak itu, saya ikut rapat dan menjadi antara yang gemar memerhati bagaimana beliau berkongsi kisah, membina reputasi dan pengikut (followers) yang semakin hari semakin ramai di media sosial.
Secara peribadi, saya melihat Tuan Khairul Hakimin Muhammad merupakan antara penulis yang bijak mengatur strategi dalam membina jenama beliau. Jika di waktu itu kebanyakan penulis lain masih sibuk membuka FanPage untuk membina nama di media sosial, beliau pula lebih fokus membangunkan nama di akaun peribadi di Facebook.
Hasilnya, nama beliau semakin dikenali dari hari ke hari. Bermula dengan jumlah pengikut yang pada masa itu tidaklah terlalu ramai (sewaktu kami baru berkenalan di media sosial), kini Khairul Hakimin telah berjaya memiliki jumlah pengikut lebih daripada 100,000 orang dan semakin bertambah di akaun Facebook peribadi beliau.
Atas rasa ingin tahu yang tinggi, dalam diam saya menyimpan hasrat untuk mendapatkan buku terbaru hasil tulisan beliau yang bertajuk Rahsia Bapa Viral Kebangsaan. Dan semalam sewaktu ke Pesta Buku Selangor di SACC, Shah Alam, buku ini berjaya berada dalam genggaman saya. Siap bertanda tangan penulis. Memang suka. Haha.
Maka setelah 2 hari menelaah dan meneliti strategi yang telah beliau kongsikan di dalam buku ini, dapat saya rumuskan ia buku yang berbaloi dibeli bagi anda yang ingin membina nama dan membangunkan pengaruh di media sosial.
Cara Khairul Hakimin mengupas dan memberikan contoh juga amat mudah difahami. Dan kesemua contoh ini adalah berdasarkan status dan posting sebenar beliau di Facebook beserta step by step bagaimana beliau menyusun content daripada sekecil perkara seperti gambar profile, kiraan teknikal bagaimana mendapatkan sasaran pengikut, impak punchline, strategi menulis di media sosial hingga kepada larangan keras dan perkara yang patut dielakkan daripada ditulis di media sosial.
Paling saya suka apabila Khairul Hakimin memberikan contoh bagaimana dengan menambah satu ayat dalam bentuk jenaka yang bersahaja ke dalam posting beliau, tetapi satu ayat inilah telah berjaya membantu bukan hanya sekadar membina positioning tetapi juga menarik pembaca menyertai kelas masakan yang beliau anjurkan. Mind blowing!
Selepas membaca keseluruhan buku, dapat saya simpulkan inilah jawapan yang saya cari tentang kenapa Khairul Hakimin berjaya membina jenama beliau di media sosial dengan berkesan.
Juga suka saya sebutkan, sebagai seorang editor Vocket yang mana antara tugas saya adalah memilih, mencari dan curate artikel serta status di media sosial yang sesuai dikongsikan di Vocket (mengikut standard yang telah kami tetapkan), saya gemar melihat bagaimana pendedahan kecil yang kami berikan mampu dimanfaatkan sebaiknya oleh penulis asal artikel tersebut. Dalam kes ini, Khairul Hakimin telah berjaya menggunakan kuasa viral dengan sangat baik.
Buat anda di luar sana yang ingin membina jenama, saya sangat cadangkan anda mendapatkan buku ini. Baca, teliti dan cuba ikut panduan yang telah diberikan oleh penulis dan di waktu yang sama, cipta satu kelainan dan identiti anda yang tersendiri.
Paling saya sarankan adalah buat mereka yang gemar mengembara dan ingin berkongsi kisah pengembaraan anda. Ini merupakan rujukan yang boleh anda baca dan terus apply ke dalam penulisan dan perkongsian pengembaraan anda.
Di waktu yang sama saya akui dan percaya, ia bukan satu perjalanan yang singkat buat Khairul Hakimin, tetapi selepas beliau melalui berbagai proses pembelajaran, menyertai kelas-kelas penulisan dan berguru dengan berbagai lapisan guru penulisan. Maka, buku ini adalah shortcut buat anda yang membaca dan mengaplikasikan formula dan strategi yang telah beliau gunakan.
Akhir kata buat Tuan Khairul Hakimin, selamat maju jaya. Saya gembira melihat tuan berjaya membina jenama, imej serta pengaruh dengan baik. Yang paling best dan saya suka, tuan masih orang yang sama seperti dulu, berkawan dengan seramai orang dan masih humble. Inilah antara ciri-ciri yang sewajarnya dicontohi oleh ramai usahawan. Hats off.
Oh ya, buat anda yang mahu dapatkan buku Rahsia Bapa Viral Kebangsaan, boleh berhubung dengan Tuan Khairul Hakimin di Facebook Page Viral-Lah (page yang beliau baru saja set up beberapa hari lepas).
Ida Latif
Editor, TheVocket.com
Anda cari buku pembangunan diri? Baca review dan cara Saya Berusaha Ubah Diri Untuk Jadi Lebih Positif Melalui 3 Buku Ini