Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek meluah rasa kecewanya berhubung kes yang melibatkan bekas pemain perseorangan negara, Liew Daren.

Seperti yang tular malam tadi, Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) menjatuhkan hukuman penggantungan selama setahun buat Daren ekoran terlibat dalam pertaruhan.

Baca Juga:

Selain Daren, bekas penganalisis prestasi Institut Sukan Negara (ISN), Jerry Gan Wye Leong turut terlibat dan menerima hukuman penggantungan selama tiga bulan.

Ia merupakan satu lagi episod hitam dalam kancah badminton tanah air dimana sebelum ini Zulfadli Zulkifli dan Tan Chun Seang menerima nasib sama kerana mengatur perlawanan pada 2018.

Rashid nyata tidak menyangka Daren dan Jerry terlintas untuk melakukan perkara sedemikian yang nyata memang buruk kesannya.

“Daren merupakan seorang pemain yang mempunyai personaliti yang baik. Saya melihatnya berlatih lebih daripada 10 tahun yang lalu, termasuk ketika dia masih pemain simpanan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tetapi saya tidak sangka dia akan melakukan perkara sebegini.”

“Saya sedih (dengan isu perjudian ini) dan ini telah mencemarkan imej Malaysia sedikit sebanyak. Tiba-tiba, Malaysia sekali lagi menjadi perhatian dunia,” ujar Rashid menurut sumber laporan Bernama TV.

Rashid Sidek yang pernah bertindak selaku jurulatih skuad badminton Malaysia  juga berpendapat meskipun Liew Daren sudah pun mengumumkan persaraan daripada pentas badminton antarabangsa pada tahun lalu, hukuman serta perlakuannya itu jelas memberikan imej negatif terhadap dirinya.

Sumber