Patrick Vieira kembali ke jawatan pengurusan bola sepak apabila dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Senegal.
Persekutuan Bola Sepak Senegal mengumumkan pelantikan bekas kapten Arsenal itu pada Selasa selepas jawatankuasa kecemasan mereka bersidang secara luar biasa dan sebulat suara meluluskan pelantikannya.
Vieira, 50, menggantikan Pape Thiaw yang meninggalkan jawatan tersebut selepas Senegal tersgkir daripada Piala Dunia 2026 di peringkat 32 terakhir kepada Belgium dengan kekalahan 3-2 selepas masa tambahan.
Pelantikan ini juga menjadi tugasan pertama Vieira sebagai jurulatih pasukan kebangsaan.
Beliau sebelum ini mengendalikan beberapa kelab termasuk New York City, Nice, Crystal Palace, Strasbourg dan Genoa. Vieira meninggalkan Genoa pada November tahun lalu dan sejak itu tidak mempunyai kelab.
Monsieur Patrick Vieira est le nouvel entraîneur de l’équipe nationale A du Sénégal. La date de la présentation officielle et les prochaines étapes de son installation feront l’objet d’une communication ultérieure.
Bienvenue au Sénégal, Coach ✅ pic.twitter.com/eJca5zNXkn
— Equipe du Sénégal (@GaindeYi) August 18, 2026
Menariknya, Vieira dilahirkan di Dakar, Senegal sebelum berpindah ke Perancis ketika berusia lapan tahun.
Namun beliau memilih untuk mewakili Perancis di peringkat antarabangsa dan menjadi sebahagian daripada skuad yang menjuarai Piala Dunia 1998 serta Euro 2000.
Kini, Vieira kembali ke tanah kelahirannya untuk memimpin generasi baharu Senegal.
Tugas pertamanya adalah memastikan Senegal kembali kompetitif selepas kempen Piala Dunia yang mengecewakan, selain membuat persiapan menghadapi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2027 yang dijadualkan bermula pada September.
Tarikh rasmi pembentangan Vieira sebagai ketua jurulatih Senegal akan diumumkan kemudian oleh persekutuan.