Pengurus Real Madrid, Jose Mourinho memberi amaran tegas kepada pertahanan, Raul Asencio susulan beberapa isu disiplin di luar padang yang dilaluinya baru-baru ini.

Pemain berusia 23 tahun itu telah dilepaskan daripada pertuduhan berkaitan sebuah video berunsur seksual, namun satu lagi kesalahan trafik telah menyebabkan pengurusnya jelas berang.

Kelab Sepanyol itu mengambil tindakan segera selepas Asencio disabitkan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Raul Asencio Buat Mourinho Naik Angin

Kesalahan trafik serius tersebut mengakibatkan lesen memandunya digantung selama lapan bulan selain dikenakan denda besar sebanyak €14,400.

Sehubungan dengan itu, Mourinho tampil mengulas situasi rumit berkenaan secara terbuka. Pengurus dari Portugal itu tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap tingkah laku pertahanan tersebut di luar padang.

Raul Asencio Buat Jose Mourinho Naik Angin
Kredit Foto: Gongora / NurPhoto via AFP

“Seorang pemain Real Madrid ialah pemain Real Madrid 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 12 bulan setahun,” kata Mourinho menurut sumber laporan Goal.

“Apa sahaja yang anda lakukan di luar bidang profesional tetap memberi gambaran terhadap Real Madrid dan terus memberi kesan kepada prestij sebuah kelab yang tidak boleh disentuh.”

“Saya tidak gembira. Semua orang melakukan kesilapan tetapi kesilapan yang berlaku berulang kali merupakan sesuatu yang berbeza.”

Asencio dijangka masih belum dapat diturunkan dalam masa terdekat kerana sedang meneruskan program pemulihan fizikalnya. Beliau masih belum membuat sebarang penampilan bersama Real Madrid musim ini susulan masalah otot yang dialaminya.

Dalam pada itu, pertahanan tersebut perlu melalui proses disiplin dalaman rasmi yang ditetapkan kelab. Pihak pengurusan Real Madrid dijangka akan menentukan bentuk hukuman yang bersesuaian susulan sabitan kesalahan memandunya itu.

Apabila akhirnya kembali cergas sepenuhnya, Asencio berdepan cabaran besar. Pemain pertahanan yang dianggap sebagai prospek cerah itu perlu bekerja keras untuk mendapatkan semula kepercayaan Mourinho dan rakan-rakan sepasukannya bagi menghidupkan kembali kariernya.