Penyerang VFL Bochum, Takuma Asano jelas mencuri tumpuan susulan protes dilakukan oleh para penyokong Union Berlin yang membaling pelbagai objek ke dalam padang pada aksi Bundesliga, Sabtu lalu.

Antara objek yang dibaling pada minit ke-12 perlawanan itu ialah bola tenis serta coklat berbentuk duit dimana menjadi simbol kepada bantahan mereka terhadap kelab dan penganjur saingan Bundesliga.

Baca Juga:

Reaksi bersahaja selepas melihat objek tersebut berterbangan dan berada di atas padang, Asano kemudiannya terus mengambil coklat tersebut dan memakannya tanpa rasa bersalah.

“Coklat memberikan kuasa kepada saya. Sangat bagus saya dapat makan coklat untuk perlawanan ini,” ujar Asano menurut sumber laporan AP News.

“Saya melihat coklat dan saya mengambilnya. Saya suka gula-gula tetapi saya tidak makan (ia) kerap sebelum bermain bola sepak.”

“Tetapi hari ini saya makan di atas padang kerana coklat ada di sana,” tambah pemain kelahiran Jepun itu lagi.

Protes tersebut dilakukan kerana difahamkan kelab dan pihak Bundesliga telah bersetuju dengan pelaburan bersama pihak luar dalam isu hak penyiaran serta pemasaran.

Mereka merasakan keputusan tersebut dibuat tanpa mengambil kira pandangan daripada para penyokong sebaik-baiknya.

Malah, keputusan itu dianggap sebagai membelakangkan para penyokong dan hanya mementingkan aspek pemasaran serta hak penyiaran semata-mata.

Di bawah peraturan 50+1 Liga Bola Sepak Jerman (DFL) , kelab bola sepak tidak akan dibenarkan bermain di Bundesliga (atau divisyen dua) jika pelabur luar mempunyai suara yang paling hebat.

Pada dasarnya, ini bermakna pelabur swasta atau komersial tidak boleh mengambil alih kelab dan berpotensi meneruskan langkah-langkah yang mengutamakan keuntungan berbanding kehendak penyokong.

Perlawanan bertemu Union Berlin akhirnya memihak VFL Bochum dengan keptusan 3-0 yang menyaksikan Takuma Asano turut berjaya menjaringkan satu gol pada masa kecederaan babak pertama.

Mungkin kekuatan itu datang selepas makan coklat ‘pemberian’ penyokong lawan .

Sumber