Dunia bola sepak sekali lagi dikejutkan apabila pemain tengah Denmark, Christian Eriksen rebah di atas padang pada minit ke-65 dalam perlawanan persahabatan menentang Ukraine di Stadium Odense.
Insiden ini mengimbau kembali detik cemas yang pernah menimpanya di Euro 2020. Bagaimanapun, keadaan kali ini dilaporkan lebih terkawal hasil tindakan pantas alat perentak jantung (ICD) yang dipasang pada badannya.
Malah, Eriksen sendiri telah berkongsikan mengenai perkembangn terkini selepas mengalami insiden kali kedua dalam hidupnya itu.
Christian Eriksen Dalam Keadaan Baik
“Saya mahu semua orang tahu bahawa saya berada dalam keadaan baik dan kini berada di rumah bersama keluarga. Seperti yang anda boleh bayangkan, menerima kejutan elektrik daripada ICD memberikan impak yang besar kepada diri saya dan juga keluarga.”
“Bagaimanapun, saya mahu meyakinkan semua orang bahawa situasi kali ini berbeza sama sekali dengan apa yang berlaku pada tahun 2021,” ujar Eriksen dalam satu hantaran di laman Instagram peribadi miliknya.
“Hasil kepakaran mereka, ICD saya berfungsi tepat seperti yang direka bentuk: melindungi saya ketika saya sangat memerlukannya.”
“Buat masa ini, fokus saya adalah untuk pulih, meluangkan masa bersama keluarga, pergi bercuti, dan bermain bola sepak dengan anak-anak saya.”
“Saya berasa sihat, dan proses pemulihan saya sudah pun bermula. Selain bersyukur atas sokongan dan bantuan daripada semua pemain serta pasukan perubatan di atas padang, saya juga teramat berterima kasih kepada para doktor yang telah menjaga saya dan jantung saya selama ini.”